Pelajar UniSZA berkayak sejauh 50KM di Sungai Terengganu, santuni komuniti setempat
Kuala Nerus – Sungai Terengganu kembali meriah dengan gelombang semangat belia apabila program “Kayak In Terengganu Amazon 2.0” anjuran Perwakilan Badan Beruniform UniSZA bersama Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) berlangsung dengan penuh kemeriahan dan nilai kemasyarakatan selama tiga hari.

Disertai oleh lebih 100 peserta termasuk pelajar antarabangsa dari Nigeria, Pakistan dan Indonesia, program ini bukan sekadar satu ekspedisi lasak merentas 50 kilometer laluan sungai, tetapi juga mencorak jalinan erat antara mahasiswa dan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti antaranya pemeriksaan kesihatan, gotong-royong, rewang, tayangan filem patriotik serta sukan rakyat.
Pengarah Pusat Pembangunan Holisitik Pelajar (PPHP), Dr. Akila Mamat, berkata program seperti itu mencerminkan komitmen UniSZA dalam melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berjiwa rakyat serta tinggi semangat kenegaraannya.

“Saya amat berbangga melihat inisiatif ini menyatukan komuniti dan pelajar dalam suasana penuh harmoni dan semangat patriotik”
“Kayak In Terengganu Amazon 2.0 ini bukan sekadar tentang fizikal dan cabaran air, tetapi merupakan sebuah pengembaraan jiwa yang membentuk karakter, menyatukan komuniti, serta menyemai cinta terhadap warisan dan tanah air” katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, dengan pengisian yang merangkumi aspek kerohanian, tradisi, keselamatan, pendidikan dan hiburan, program ini membuktikan bahawa pelajar universiti mampu menjadi agen perubahan dengan pendekatan menyeluruh dan inklusif.
"Inilah contoh mahasiswa sejati yang mampu mendepani cabaran, menyantuni masyarakat, dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam tindakan," katanya.
Program selama tiga hari itu bermula dari Kuala Berang sehingga ke Pulau Duyong dan pada hari pertama peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu berkayak dari Kuala Berang ke Kampung Pasir Tinggi, dan satu lagi terus ke Kampung Padang Limau Nipis bagi melaksanakan program khidmat masyarakat.
Aktiviti siang diserikan dengan Klinik Islam, pertandingan e-sukan Mobile Legends, sukaneka dan sesi gotong-royong yang disambut penuh semangat oleh penduduk setempat. Pada waktu malam, tayangan filem “Paskal” dan “Air Force” mencetuskan suasana penuh semangat patriotik.

Pada hari kedua, peserta Kumpulan B memulakan kayuhan dari Jeti Pasir Tinggi ke Kalang Warisan, dengan pelepasan disempurnakan oleh Encik Mohd Samri bin Idris, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Marang.
Ketibaan peserta disambut meriah dengan kibaran Jalur Gemilang dan alunan lagu-lagu patriotik, menggambarkan perpaduan komuniti yang jitu.
Acara Explorace, lawatan ke Makam Tokku Pulau Manis, aktiviti mencari etok dan kuliah Maghrib oleh Ustaz Ahmad Fauzi dari Fakulti Kontemporari Islam (FKI) memberi dimensi rohani dan tradisional yang mendalam kepada para peserta. Malam diteruskan dengan sesi campfire patriotik, menyemai nilai cinta negara dalam suasana santai.
Manakala, hari ketiga menjadi penutup gah apabila peserta menamatkan ekspedisi dengan kayuhan mencabar sejauh 22 kilometer menuju Kampung Pulau Duyong.
Setibanya di destinasi akhir, peserta disambut penuh meriah oleh warga kampung dan pelajar SK Duyong melalui perarakan, persembahan patriotik serta pertandingan basikal berhias.

