Air Mata Syukur Naufal: UniSZA Hadir Bawa Harapan ke Pintu Rumah

Temerloh, Pahang – “Saya terkejut, menangis tak berhenti. Saya tak sangka UniSZA datang sendiri ambil saya untuk ke kampus… seolah-olah Allah jawab doa kami.”
Itulah luahan penuh emosi Naufal Zulkarnain bin Mohamad Anuar, 18, pelajar cemerlang SPM yang memperoleh 8A+ dan 1A-, bakal melanjutkan pengajian dalam program Asasi Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Lebih mengharukan, Naufal berasal daripada keluarga yang serba kekurangan — anak ketiga daripada enam beradik, dibesarkan oleh seorang ibu tunggal berstatus Orang Kurang Upaya (OKU fizikal), Puan Manisah binti Hassan, 45.
Ibunya yang menyara keluarga dengan menjual kuih, roti dan pizza kecil-kecilan tidak mampu menyediakan kemudahan asas pembelajaran, termasuk telefon pintar atau komputer riba.
Naufal hanya menumpang laptop kakak, dan menyimpan wang sendiri demi membeli telefon murah untuk keperluan belajar.
Mereka kini menetap di rumah nenek selepas bapanya, Muhammad Anuar bin Abdullah, 50, masih dalam jagaan Majlis Agama Islam Pahang bagi proses pemulihan akhlak.
Walaupun hidup serba kekurangan, semangat Naufal tidak pernah luntur. Sejak kecil dia bercita-cita menjadi doktor, dan memilih UniSZA sebagai laluan untuk mencapai impian itu.

“Saya tolong mak buat kuih, jaga nenek yang baru keluar wad, bantu nenek di kebun. Tapi dalam hati, saya cuma nak belajar. Cuma nak ubah hidup keluarga saya,” luah Naufal dengan linangan air mata.
Kisah Naufal yang menyentuh hati ini sampai ke pengetahuan UniSZA. Lantas, pihak universiti mengambil inisiatif menghantar kenderaan khas untuk membawa Naufal dari rumah neneknya di Temerloh ke kampus Gong Badak bagi pendaftaran Asasi yang bermula esok.

“Saya terharu sangat bila pihak universiti sudi datang ambil. Saya takkan sia-siakan peluang ini.
“Saya berazam belajar bersungguh-sungguh dan suatu hari nanti mahu membalas jasa semua yang pernah membantu kami serta mengubah nasib keluarga saya”, katanya ketika ditemui.
Katanya lagi UniSZA membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya soal akademik, tetapi soal kemanusiaan – memberi harapan kepada mereka yang memerlukan.
Bagi Naufal, perjalanan sebagai anak desa menuju cita-cita menjadi doktor akhirnya bermula — dengan air mata syukur dan semangat yang membara.