Projek Kelestarian Produk Kercut YDSM-UniSZA

Setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta DYTM Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda atas limpah perkenan mencemar duli ke reruai Produk Anyaman Kercut sempena Karnival Sambutan Dua Dekad YDSM pada 21 Jun 2025.


Projek Kelestarian Produk Kercut YDSM-UniSZA yang dilaksanakan oleh Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) serta Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dan tajaan Hibiscus Petroleum Bhd, merupakan inisiatif memperkasa warisan kraf tempatan melalui pendekatan pendidikan dan inovasi.


Kerjasama strategik UniSZA dan pihak luar ini bertujuan menyemai kecintaan terhadap budaya dan warisan tradisional dalam kalangan generasi muda, serta membuka ruang dan peluang keusahawanan kepada pelajar dan alumni UniSZA dalam bidang kraftangan berasaskan sumber tempatan. Keberangkatan Duli-Duli Tuanku amat bermakna dan menjadi inspirasi besar kepada para peserta untuk terus menghargai, melestarikan serta mengangkat martabat warisan budaya negeri Terengganu ke persada yang lebih tinggi.
Menjunjung kasih atas sokongan dan limpah kurnia Tuanku.