Naib Canselor UniSZA sempurnakan Pelancaran Hari Akademia 2024
Kuala Nerus – Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Akademia 2024 peringkat UniSZA yang bertemakan Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat Madani Berinovasi, di Dewan Auditorium Al-Zahrawi, HoSZA.
Beliau ketika berucap berkata, Hari Akademia bukan sekadar acara tahunan atau ceremonial semata, tetapi juga ruang dan peluang untuk sama-sama ’mengaca diri’, bermuhasabah untuk membuat refleksi bagi memperbaharui tekad dalam usaha memperkasakan pendidikan tinggi di negara.
“Universiti hakikatnya bukanlah seperti kilang yang sekadar menyiapkan produk mengikut kehendak pasaran, tetapi lebih daripada itu, iaitu menghasilkan graduan berkualiti tinggi, sebagai pelapis kepada pimpinan negara masa hadapan, yang berintegriti dan berakhlak dengan akhlak terpuji”
“Dalam hal ini, UniSZA bertuah kerana telah pun mendahului hasrat negara dengan gagasan FlexS, atau flexible education with Soul, yang telah tercetus sejak 2017 lagi dan gagasan ini bakal menunjukkan hasil pendidikan anjal yang menekankan aspek kerohanian dan jiwa agar berupaya melihat keperluan masyarakat dan negara dengan perspektif yang benar dan tepat”, katanya pada majlis itu.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi), Prof. Dr. Ts. Shukor Abd Razak, Pendaftar, Encik Muzafar Mohd Din, Bendahari, Encik Suhaili Mohd, Penasihat Undang-undang, Encik Mohd Fuad Husaini, Pengarah Kampus Besut, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan , Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani Ahmad Saany dan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Nordin Abdul Rahman.
Katanya lagi, pada era digital dan teknologi yang berkemuncak dengan revolusi industry 5.0, para akademia diharapkan dapat mengukuhkan jaringan serta bersedia untuk mentransformasi diri, seiring dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang perlu dimanfaatkan oleh kita semua, dalam menuju maqasid membina masyarakat madani yang berinovasi tinggi.
“Inovasi yang kita maksudkan bukanlah semata-mata terikat kepada arus perubahan, tetapi bersedia menjadi peneraju kepada kemajuan dalam bidang masing-masing. Pengajaran dan penyelidikan haruslah seiring dalam memastikan kita kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global”.
“Saya percaya, melalui iltizam yang tinggi dan semangat ‘togetherness’, kita mampu mengatasi apa jua cabaran yang mendatang. UniSZA bukan sahaja akan terus maju, malah akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat dan negara”, katanya.
Tambahnya lagi, dalam konteks AI sebagai Pemangkin Pendidikan dan Inovasi, beliau berharap semua bersedia untuk transformkan diri masing-masing agar sentiasa bersedia menghadapi segala perubahan masa depan.
Pada majlis itu, Naib Canselor turut mengisytiharkan dengan rasminya bulatan yang terletak di hadapan Bangunan Gymnasium UniSZA dengan nama Bulatan Akademia, sebagai manifestasi penghargaan pihak universiti kepada sumbangan para akademia di segenap peringkat dalam mencorakkan kejayaan UniSZA sepanjang zaman.