Friday, 16 May 2025

UniSZA jadi tuan rumah AISC Zon Timur 2024

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin menjadi tuan rumah bagi program AI Summer Camp (AISC) Zon Timur 2024 yang berlangsung bermula 29 September hingga 4 Oktober 2024, di Dewan Auditorium, Bangunan Akademik, Kampus Gong Badak.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, berkata AISC merupakan   program peningkatan kemahiran dan pemulihan atau reskilling and upskilling dengan menumpukan kepada kesediaan dan kebolehpasaran graduan, khususnya pelajar universiti di IPTA dan IPTS.

“Objektif program ini adalah untuk memastikan peserta sentiasa peka dan bersedia dengan keperluan pasaran seterusnya meningkatkan kemahiran teknikal dan pengetahuan terutamanya dalam teknologi AI”

“AISC ini juga bertujuan menangani masalah pasaran semasa serta memperbaiki kualiti kerja apabila peserta memulakan kerjaya mereka dengan pembangunan kemahiran yang dipertingkatkan bagi meningkatkan produktiviti kerja dan kemahiran terkini yang sentiasa dikemaskini dan berkaitan dengan tren industri semasa”, katanya selepas merasmikan AISC Zon Timur 2024.

Turut hadir, Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE-MAIPs), Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin, Pengarah Institut Informatik Visual Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rabiah Abdul Kadir dan Pengurusan Tertinggi UniSZA.

Program selama enam hari itu disertai seramai 51 pelajar dari universiti pantai timur antaranya UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan TATITUC

Prof. Dato’ Dr. Fadzli berkata, AISC juga adalah satu inisiatif penting untuk mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang semakin menjadi tunjang utama kemajuan teknologi masa kini.

“Seperti yang kita tahu, AI kini telah memainkan peranan yang semakin besar dalam kehidupan seharian kita. Dengan pelbagai aplikasi seperti pemprosesan bahasa, pengenalan imej, dan pembelajaran mesin, AI membuka pelbagai peluang baru.

Katanya lagi, program anjuran FCoEE-MAIPs dan Institut Informatik Visual UKM dengan kerjasama UniSZA, itu adalah hasil kerjasama yang hebat antara beberapa pihak sekaligus pelajar terlibat akan dapat mempelajari teknik-teknik terkini dalam dunia kecerdasan buatan dan mampu menerokai potensi yang luas dalam bidang berkenaan.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2025 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara