Pelajar terkejut Naib Canselor datang rumah
Ajil – “Saya tak sangka Naib Canselor sendiri yang datang hari ini bagi sumbangan kepada saya untuk sambung belajar esok” kata Nurul Batrisya Rusdi, 19, ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih dan Sumbangan Awal Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Nurul Batrisya yang berasal dari Felda Jerangau, Ajil itu akan mendaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai pelajar baharu Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa.
Dia ketika ditemui berkata, kunjungan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam ke rumahnya adalah kejutan yang tidak disangka-sangka kerana dapat mengenali beliau dengan lebih dekat
“Saya ingat hanya staf UniSZA yang hadir rupanya Naib Canselor sendiri yang datang bagi sumbangan, sungguh saya terharu dan terkejut”
“Terima kasih UniSZA atas sumbangan dan bantuan ini yang dapat meringankan beban kepada saya dan keluarga untuk membuat persediaan awal ke universiti”, katanya yang juga anak bongsu dari tiga beradik.
Seorang lagi pelajar, Aisha Syafiyya Mohamad Zakhuwan, 19, berasa amat bersyukur dan gembira dengan bantuan awal yang diterimanya dari UniSZA
“Dengan bantuan ini ia dapat meringankan beban ibu saya dan saya harap dengan bantuan ini juga dapat saya belajar bersungguh-sungguh”, katanya yang akan mendaftar bagi program Sarjana Muda Sains Perubatan dan Kesihatan.
Sementara itu, Prof Dato’ Dr. Fadzli berkata Program Ziarah Kasih itu adalah salah satu usaha yang disarankan Menteri Pendidikan Tinggi bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan untuk membuat persediaan awal pendaftaran,
“Sebelum masuk UniSZA kita kenalpasti dulu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan supaya mereka dapat mendaftar dan persiapan mereka lengkap untuk sesi pembelajaran nanti”
“Kita akan pastikan semasa tempoh pengajian di universiti nanti , pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dari segi kewangan ini akan dibantu dengan pelbagai bantuan dan kemudahan yang telah pihak UniSZA sediakan,” katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, UniSZA sentiasa peka dalam menjaga kebajikan pelajar dengan pelbagai bentuk bantuan termasuk Program Pembangunan Siswa Sulong 3.0, Zakat, bakul makanan, pinjaman dana makan minum, bantuan komputer riba dan tawaran Job on Kampus.
Pada program itu, Naib Canselor telah menyampaikan sumbangan komputer riba, wang tunai RM 500 dan bakul rahmah kepada empat pelajar di Hulu Terengganu sebagai persediaan kepada mereka untuk memulakan pengajian di UniSZA.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Pegurusan Tertinggi UniSZA.