Pelajar Cemerlang STAM terharu terima bantuan awal UniSZA
Kuala Nerus – Bekas pelajar cemerlang Maahad Tarbiah Marhdiah terharu apabila menerima sumbangan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di kediamannya, di Bachok, semalam.
Mohamad Zahis Zahari, 19, berkata dia mulanya terkejut menerima kunjungan dari pihak UniSZA yang datang menyampaikan bantuan awal sebelum mendaftar sebagai pelajar baharu Ahad depan
"Paling saya terharu apabila menerima sebuah komputer riba untuk kegunaan pembelajaran nanti serta wang tunai untuk persediaan masuk ke UniSZA nanti”
“Terima kasih pihak UniSZA atas sumbangan ini dan membantu saya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi demi mencapai cita-cita saya menjadi pendidik”, katanya yang menerima tawaran Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
Anak sulung dari tiga beradik itu tinggal bersama ibunya, Halimah Husen Jawas Al Indonusi, 45, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan selepas kehilangan bapa tercinta pada awal tahun lepas akibat kanser hati.
Zahid berkata, meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga buat sementara waktu, dia akan buat yang terbaik untuk mengubah hidup keluarganya yang serba kekurangan.
Seorang lagi pelajar, Nur Safuannah Mohd, 20, turut merasa terharu dan bersyukur menerima bantuan tersebut kerana tidak mampu untuk membuat persediaan awal ke UniSZA bagi mendaftar sebagai mahasiswa baharu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam
“Saya ingin mengubah nasib keluarga dan membantu ibu saya kerana ini adalah peluang terbaik untuk saya belajar bersungguh-sungguh”
“Walaupun kehidupan saya tidak seperti orang lain, tapi pendidikan sangat penting untuk terus menjadi yang terbaik”, katanya yang merupakan anak kelapan dari sebelas adik beradik
Safuwanah berkata dia kehilangan ayah pada tahun 2014 akibat angin ahmar kini tinggal bersama ibunya, Fadzillah Abdullah, 55, yang juga seorang suri rumah
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof. Madya Dato’ Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff, berkata universiti mengambil inisiatif memberi bantuan awal kepada pelajar yang menerima tawaran ke UniSZA dari kumpulan B40 atau keluarga kurang berkemampuan
"UniSZA sentiasa memberi bantuan kepada semua pelajar yang memohon bantuan. Antara bentuk bantuan termasuk Program Pembangunan Siswa Sulong 3.0, zakat, bakul makanan, pinjaman dana makan minum, bantuan komputer riba dan tawaran Job on Campus”
“Kita juga bekerjasama dengan agensi luar untuk mendapatkan bantuan zakat dan sumbangan lain seperti bank, Yayasan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Sumbangan Awal Kemasukan Ijazah Sesi 2024/2025