Friday, 11 October 2024

UniSZA tubuh Pusat Satelit ISN fokus kepada perubatan sukan

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menjadi universiti pertama di Pantai Timur yang menubuhkan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) yang berfokuskan kepada perubatan sukan.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, Pusat Satelit ISN itu menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan rehabilitasi sukan, ujian diagnostik dan radiologi, rehabilitasi pemulihan kecederaan, ujian kecergasan, serta konsultasi pemakanan sukan.

“Selain memberi rawatan kepada atlet, pusat ini juga membuka peluang besar untuk kerjasama dalam pembangunan & perkembangan aplikasi sains, perubatan, bidang inovasi & teknologi sukan, pendidikan dan penyelidikan”

“Kerjasama ini mampu menambah nilai dalam memacu prestasi atlet ke arah kecemerlangan sukan negara yang unggul dan bertaraf dunia”, katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Satelit ISN UniSZA.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Encik Ahmad Faedzal bin Md Ramli, di Kompleks Sukan UniSZA, Kampus Gong Badak yang turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Marina Chin beserta Pengurusan UniSZA.

Prof. Fadzli berkata, Pusat Satelit ISN dalam bidang perubatan sukan itu telah beroperasi sejak 12 Oktober tahun lepas di Pusat Rehabilitasi, FSK, UniSZA Kampus Gong Badak, dengan kerjasama Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).

“Komitmen ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan rawatan kepada atlet, tetapi juga akan memudahkan serta merancakkan kerjasama dan perkongsian maklumat serta pengetahuan antara UniSZA dan ISN”

“Dengan adanya Pusat Satelit ISN UniSZA, kita berharap agar dapat memberi impak yang besar dalam memperkasa ekosistem sukan negara ke arah prestasi lebih cemerlang dan pencapaian yang lebih membanggakan, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan”, katanya.

 

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara