Monday, 11 November 2024

UniSZA Penuhi Tuntutan Kompetensi dalam Era Pasca-Normal

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

KUALA NERUS, 26 Ogos 2024 — Kolokium 2024 peringkat kebangsaan yang bertemakan “Penilaian Prestasi Berasaskan Kompetensi” telah berlangsung dengan jayanya di sini. Program kolaborasi strategik antara Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menghimpun seramai 150 peserta yang terdiri daripada pengurus bakat dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.

Kolokium beserta bengkel selama tiga hari yang berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos di Raia Hotel dan Dewan Perdana, UniSZA, telah dirasmikan oleh Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Dr. Harshita Aini binti Haroon.

Program ini bertujuan menyediakan platform untuk berkongsi pandangan bersama pakar dalam mengenal pasti, menilai, dan merancang instrumen penilaian yang ada atau yang berpotensi untuk digunakan. Fokusnya adalah pada keberkesanan pelaksanaan instrumen ini dalam menyokong inisiatif AKEPT serta merancang strategi dan langkah penilaian untuk masa hadapan.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, dalam ucapan aluannya, menyatakan bahawa UniSZA sentiasa komited untuk membangunkan bakat unggul melalui pendekatan Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi dengan Kerohanian (CBTM with Soul). Beliau menekankan bahawa nilai 2i2A: Ilmu, Iman, Amal, dan Akhlak, adalah asas kepada usaha UniSZA dalam melahirkan bakat warga yang berakhlak mulia serta profesional dalam menghadapi cabaran semasa dan masa depan. Beliau menegaskan bahawa dalam pembangunan bakat versatile yang kompeten, UniSZA menekankan prinsip “No one is left behind.”

Sorotan utama kolokium ini adalah ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Harshita Aini binti Haroon, Pengarah AKEPT. Dalam ucapan beliau, Profesor Dr. Harshita menekankan kepentingan adaptasi strategi penilaian yang dinamik dan responsif dalam menghadapi cabaran era pasca-normal (Post-Normal Times, PNT). Ianya adalah suatu zaman di mana ketidakpastian (uncertainty), ketidakboleh ramalan (unpredictability) and kekaburan (ambiguity) adalah melampau, yang melibatkan perubahan pantas dalam teknologi, polisi dan keperluan masyarakat. Beliau turut memperincikan konsep dan peranan kerangka MADANI dalam pembangunan dan penilaian kompetensi dalam era pasca-normal. Menurut beliau, kerangka MADANI merupakan “kompas nilai” yang menekankan nilai kemanusiaan, daya tahan dan inovasi yang harus dihayati oleh setiap warga bagi memastikan IPT terus relevan dan berdaya saing dalam era pasca-normal ini.

Bagi merealisasikan matlamat ini, UniSZA telah membangunkan “JAUHAR — CBTM with Soul”, yang merupakan strategi pembangunan bakat berasaskan kompetensi secara holistik. Pendekatan ini selaras dengan falsafah utama universiti, iaitu Ilmu Demi Faedah Insan, memastikan setiap langkah yang diambil memberi manfaat kepada warga keseluruhannya.

Strategi ini memastikan penilaian prestasi melibatkan pewujudan dasar, kriteria kompetensi yang jelas, dan instrumen penilaian yang berkesan demi menghasilkan bakat unggul di dalam universiti.

Seterusnya, para peserta kolokium telah dibentangkan dengan pelbagai isu kritikal dan pendekatan inovatif dalam penilaian prestasi berasaskan kompetensi oleh dua penceramah ucaptama jemputan pakar dalam bidang iaitu Dato' Dr. Hj. Musa bin Ali Ketua Pegawai Eksekutif MTalent Training & Consultancy Services Sdn. Bhd. dan YM Datuk Dr. Tengku Naufal bin Tengku Mansor, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA.  Fokus utama termasuklah mengupas transformasi kualiti pentadbiran universiti melalui penilaian kompetensi dan pembangunan profesionalisme, serta penggunaan Model Kirkpatrick sebagai kerangka untuk menilai keberkesanan latihan dan pembangunan bakat di IPT.

Di samping itu, para peserta turut disajikan dengan wacana forum yang mengupas isu berkaitan kompetensi dan pengembangan kepimpinan terhadap peningkatan prestasi. Tiga ahli panel terlibat iaitu Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah bin Abdullah, Timbalan Pengarah (Pusat Pengurusan Bakat), AKEPT; Puan Norhartaty binti Rahmat, Timbalan Pengarah Cawangan Dasar dan Perundingan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); dan Encik Muhazam bin Mansor Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Wacana forum yang dikendalikan oleh Pengarah, Pusat Pengurusan Bakat dan Latihan, UniSZA iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Shafiee bin Hamzah turut membincangkan bagaimana penilaian prestasi berasaskan kompetensi dalam konteks IPT boleh kekal relevan dan berkesan dalam menghadapi cabaran 3C era pasca-normal iaitu kompleksiti (complexity), kekalutan (chaos) dan kontradiksi (contradiction).

Kolokium 2024 melabuh tirai dengan jayanya dengan ucapan penutup oleh Pendaftar UniSZA, Encik Muzafar bin Mohd Din, yang berharap bahawa suntikan elemen kompetensi dalam penilaian prestasi melalui pengetahuan, kemahiran dan atribut yang berkaitan dengan bidang tugas dapat memberi impak positif dalam meningkatkan sistem penilaian prestasi. Natijahnya, penyampaian perkhidmatan dan penghasilan kerja yang berprestasi tinggi dapat dicapai di IPT.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara