UniSZA METERAI MoU BERSAMA LIMA AGENSI, JALIN KOLABORASI BAGI PROJEK PENDIGITALAN MANUSKRIP UniSZA
Category :
Semasa
68 Views
30 Julai 2024 | Kuala Terengganu - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, dan Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman bertempat di Menara A, Drawbridge Selatan Kuala Terengganu.
MoU ini telah ditandatangani oleh wakil agensi masing-masing iaitu YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam (Naib Canselor UniSZA), YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri bin Md. Hussain (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (Menjalankan Tugas Naib Canselor) UniSHAMS), YBrs. Encik Shahizan Affandi bin Zakaria (Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah), YBrs. Encik Suhaidi bin Shukri (Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman), YBrs. Cik Khomzah binti Sheik Ahmad (Ketua Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Koleksi, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu), YBrs. Syeikh Mohd Firdaus bin Mohd Khalil (Ketua Penolong Mufti (Rujukan Fatwa) Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman).
Pemeteraian MoU ini yang diadakan bertujuan menjalinkan kerjasama dan kolaborasi antara UniSZA dengan agensi-agensi yang terlibat dalam Projek Pendigitalan Manuskrip UniSZA. Projek ini telah diambil inisiatif oleh UniSZA melalui Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) UniSZA bagi mendigitalkan keseluruhan manuskrip Melayu Islam dari dalam dan luar negara. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama institusi-institusi tersebut untuk melindungi dan mempromosikan warisan intelektual dan budaya Islam, serta meningkatkan aksesibiliti bahan-bahan ilmiah kepada penyelidik dan orang awam melalui teknologi digital.
Kementerian Pengajan Tinggi Malaysia telah memberikan amanat kepada UniSZA sebagai sebuah Pusat Rujukan Manuskrip Digital Kebangsaan Melayu Islam melalui Projek Pendigitalan Manuskrip UniSZA. Hasrat ini akan dilakukan bersama-sama kolebarasi dari dalam dan luar negara bagi mengumpulkan koleksi digital manuskrip Melayu Islam dalam satu tempat bagi pemeliharaan khazanah dunia daripada hilang.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Sahibus Samahah Dato’ Dr. Haji Mohd Sabri bin Haron (Mufti Kerajaan Negeri Terengganu), Ahli Pengurusan Tertinggi UniSZA, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Zaidin bin Mat@Mohamad (Pengarah INSPIRE) serta para pegawai kanan yang turut terlibat sama dalam majlis ini.