Dua pasangan adik-beradik antara pelajar baharu di UniSZA
Kuala Nerus – Dua pasangan adik-beradik antara 1,015 pelajar baharu Asasi dan Diploma yang mendaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.
Muhammad Fathullah Mashkur Md Norsalam, 19, dan adik perempuannya, Nurdina, 18, yang berasal dari Kuala Nerus telah memilih untuk menyambung pengajian Diploma Dakwah dan menjadikan UniSZA pilihan utama mereka.
Fathullah ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang untuk menuntut ilmu bersama adiknya dalam program yang sama.
“Sebelum ini saya dah terima tawaran di UniSZA tapi masa itu saya sedang belajar di Pondok DarSa Kuala Nerang, jadi saya terpaksa tolak untuk menamatkan pengajian saya di situ”
“Dan hari ini, Alhamdulillah saya telah mendaftar sebagai pelajar Diploma di UniSZA demi mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang Pegawai Hal Ehwal Islam”, katanya yang merupakan anak sulung dari sembilan adik-beradik.
Sementara itu, pasangan adik-beradik Maryam Dhea, 18, menyambung pengajian dalam Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab manakala kakaknya, Hawa’ Dhaea, 20, pula menyambung pengajian dalam program Diploma Pemasaran.
Maryam berkata, dia dan kakaknya telah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama pada tahun lepas di Tahfiz Al Muqarrabin, Kerteh dan mendapat keputusan cemerlang kesemua A.
“Kakak saya terpaksa menunda SPM sewaktu PKP dulu dan menunggu untuk mengambil SPM bersama-sama saya dan sebab itu kami dapat menyambung Diploma bersama walaupun berbeza umur”
“Alhamdulillah, kami berdua sangat bersyukur kerana dapat menyambung pengajian di UniSZA dan ini adalah pilihan pertama kami dalam bidang masing-masing”, katanya.
Anak kedua dari lima beradik itu berharap agar mereka dapat menamatkan pengajian di peringkat Diploma dengan lebih cemerlang untuk mencapai cita masing-masing.