Saturday, 27 July 2024

KDYMM Sultan Terengganu berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

12 Mei 2024 | Kuala Nerus, Terengganu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan perasmian Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersempena ulang tahun ke-62 hari keputeraan baginda di sini pagi tadi.

Turut berangkat KDYMM Sultanah Terengganu yang juga Canselor UniSZA, Sultanah Nur Zahirah, Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’ Al-Watiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keberangkatan baginda KDYMM Sultan Terengganu telah disambut oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah UniSZA, YB Mulia Tengku Seri Bijaya Raja; Pro Canselor UniSZA, YBhg. Tan Sri Dato’ Doktor Mohd Yusof Haji Mohamed Nor; Pro Canselor UniSZA, YM Tunku Datuk Nooruddin Tengku Seri Kelana Jaya; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh; dan Naib Canselor UniSZA, YBhg. Dato' Prof. Dr. Fadzli Adam.

HoSZA dengan tekad yang kukuh menetapkan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan perubatan yang berkualiti serta menjadi peneraju di dalam bidang perubatan di Malaysia.

Dengan fokus kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia dan pendidikan berteraskan kes, HoSZA berhasrat untuk menjadi sebagai salah satu pusat kajian dan penyelidikan utama di negeri pantai timur Malaysia. Melalui kepakaran ini, HoSZA diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna dalam mengatasi isu-isu kesihatan tempatan.

HoSZA juga berhasrat menjadi pusat kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran perubatan dengan penyatuan pendidikan dan amalan klinikal. Ini membolehkan pelajar perubatan dan profesional penjagaan kesihatan lain untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam suasana klinikal sebenar, menghubungkan pengetahuan teori dengan realiti amalan perubatan bertaraf dunia kelas pertama.

Di samping itu, HoSZA akan memanfaatkan teknologi dan kemudahan terkini dalam perkhidmatannya. Dengan peralatan perubatan terkini dan kemudahan diagnostik peringkat tinggi, HoSZA memberikan peluang kepada pelajar untuk bersedia dengan teknologi perubatan terkini serta amalan terkini dalam penjagaan kesihatan.

Dengan kehadiran HoSZA sebagai pusat perkhidmatan penjagaan kesihatan awam, masyarakat setempat akan mendapat akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Ini sejajar dengan usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk setempat melalui peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang cekap dan efektif.

Pembukaan rasmi HoSZA oleh KDYMM Sultan Terengganu adalah satu peristiwa penting yang memberikan harapan baru kepada penduduk Terengganu dan sekitarnya. Hospital ini tidak hanya menjadi simbol pembangunan kesihatan di negeri tersebut, tetapi juga membawa harapan baru dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

Pada majlis yang sama, KDYMM Sultan Terengganu berkenan menyaksikan sumbangan berjumlah RM512,000 daripada pelbagai sektor awam dan swasta kepada Tabung Kebajikan HoSZA yang bakal dimanfaatkan bagi kegunaan para pesakit serta pengurusan hospital.

Selain itu, KDYMM Sultan Terengganu turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding - MoU) antara HoSZA dengan Institut Jantung Negara (IJN) serta Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO).

Seterusnya, keluarga diraja berkenan berangkat melawat ke sekitar bangunan hospital bagi meninjau fasiliti serta kemudahan rawatan kesihatan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara