Sunday, 28 April 2024

UniSZA TINGKAT MOMENTUM KONGSI KEPAKARAN AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN, METERAI PERJANJIAN PENYELIDIKAN DAN MoU BERSAMA TIGA AGENSI

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
9 Februari 2024 | Putrajaya - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah memeterai Perjanjian Kerjasama bersama Olive Jardin Marketing (OJM) serta Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Oxus University MCHJ (Oxus), Uzbekistan dan Pustaka Khazanah Fathaniyah bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Putrajaya.
 
 
Kerjasama penyelidikan antara Fakulti Perubatan UniSZA dan OJM bakal melibatkan kajian klinikal mengenai minyak zaitun dara (EVOO) hasil daripada perahan buah zaitun putik/muda yang memberi manfaat besar kepada kesihatan dan kecantikan.
 
 
Manakala, jalinan MoU antara Fakulti Perubatan UniSZA dan Oxus bakal berfokus ke arah kerjasama akademik dan penyelidikan. Kerjasama ini adalah untuk memudahkan pertukaran idea dan kemudahan dalam kalangan kedua belah pihak, termasuk keterikatan dan lawatan bersama oleh ahli akademik untuk meneruskan penyelidikan, pembangunan kurikulum, dan untuk mengambil bahagian dalam seminar, persidangan, bengkel, dan sebagainya yang berkaitan dengan pengajian.
 
 
Kerjasama antara Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) UniSZA dan Pustaka Khazanah Fathaniyah pula akan membuka peluang kepada kedua pihak dalam meneroka bidang pendigitalan manuskrip. UniSZA melalui Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) akan menghantar kumpulan penyelidik dan teknikal untuk mendigitalkan sebahagian koleksi Khazanah Fathaniyah yang masih belum di digitalkan dan membantu dalam proses pendiskripsian manuskrip. Kerjasama ini diharap dapat membantu pihak Khazanah Fathaniyah untuk menyimpan salinan manuskrip dalam bentuk digital sepenuhnya manakala bagi pihak UniSZA pula, salinan digital manuskrip koleksi Khazanah Fathaniyah akan di muatnaik ke dalam portal “e-Manuscipt UniSZA” bagi tujuan kelestarian manuskrip serta menjadi wadah kepada semua pengkaji untuk menggali ilmu yang terkandung didalamnya.
 
Majlis pertukaran dokumen Perjanjian Penyelidikan dan MoU tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam (Naib Canselor UniSZA) dengan YBhg. Dato’ Sri Daing Nasir Ibrahim (Rektor Oxus University), YBrs. Encik Muhd Shakir As-Salam bin Ya (Pengarah, Olive Jardin Marketing) serta YBrs. Cik Wan Jumanatun Nailiah binti Wan Muh Syahrir (Penjaga Koleksi Pustaka Khazanah Fathaniyah mewakili YBrs. Puan Jumaanatul Karamah binti Wan Muh Syahrir, Pengurus, Pustaka Khazanah Fathaniyah).
 
 
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut daripada pihak UniSZA ialah Prof. Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas (Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi), Encik Suhaili bin Mohd (Bendahari), Prof. Dr. Harmy bin Mohamed Yusoff (Dekan Fakulti Perubatan), Prof. Madya Dr. Mohamad Zaidin bin Mat@Mohamad (Pengarah INSPIRE), Timbalan-timbalan Pengarah serta para pegawai kanan daripada UniSZA, Oxus University, OJM dan Pusat Khazanah Fathaniyah.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara