Thursday, 22 February 2024

UniSZA DAN PIL CAPAI KATA SEPAKAT, JALIN KERJASAMA MoU BAGI MEMPERKUKUH ARENA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
9 Januari 2024 | Kuala Nerus - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Premier Integrated Labs Sdn. Bhd. (PIL) iaitu sebuah syarikat perkhidmatan Makmal Diagnostik bertempat di Bangunan Canselori, UniSZA Kampus Gong Badak. Pemeteraian MoU ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UniSZA bagi memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan perkhidmatan makmal diagnostik yang lebih komprehensif, penempatan industri bagi pelajar dan latihan sangkutan bagi kakitangan FSK khususnya.
 
 
Jalinan kerjasama bersama PIL amat bertepatan kerana boleh memperkaya dan mengukuhkan jaringan serta keterlibatan yang produktif, sistematik dan lestari antara universiti dengan industri. Selain itu, melalui MoU tersebut, PIL akan dijadikan oleh UniSZA sebagai sebuah makmal satelit yang akan menyediakan perkhidmatan makmal rujukan yang lebih mengfokuskan kepada ujian-ujian makmal diagnostik khusus seperti diagnostik molekul, sitogenetik, jujukan genom dan histologi bagi melengkapi kemudahan dan perkhidmatan yang belum dimiliki oleh UniSZA.
 
 
Kerjasama ini adalah diharapkan akan memudahkan pertukaran idea, kepakaran dan kemudahan Infrastruktur atau prasarana oleh dua belah pihak, termasuk keterikatan dan lawatan bersama oleh ahli kakitangan untuk meneruskan penyelidikan, pembangunan kurikulum, dan untuk mengambil bahagian dalam seminar, persidangan, bengkel, dan sebagainya yang berkaitan dengan industri selain dijangka membawa impak positif antara kedua-dua pihak.
 
Antara hasrat utama UniSZA melaui MoU ini adalah untuk memudahkan penempatan industri pelajar pascasiswazah UniSZA bagi tujuan meningkatkan pengalaman pembelajaran, pembangunan profesional dan pembangunan kurikulum selain perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak. Pada masa yang sama jalinan kerjasama ini juga bakal memudahkan penempatan industri dan latihan amali untuk pelajar UniSZA untuk meningkatkan keusahawanan dan kebolehpasaran graduan.
 
 
Bagi pihak UniSZA, dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, Naib Canselor manakala bagi pihak PIL pula telah ditandatangani oleh YBrs. Encik Mohd Hareeff bin Muhammed selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Premier Integrated Labs Sendirian Berhad serta disaksikan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Antarabangsa) UniSZA dan YBrs. Encik Zolkeflee bin Abdul, Pengurus Pembangunan Perniagaan (Pantai Timur), Premier Integrated Labs Sendirian Berhad.
 
Majlis yang cukup bermakna tersebut turut disertai oleh delegasi UniSZA iaitu YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Encik Muzafar bin Mohd Din (Pendaftar), YBrs. Encik Suhaili bin Mohd (Bendahari) serta para pegawai UniSZA serta delegasi PIL.
 
Selesai majlis tersebut, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut bagi memperkembangkan usahasama yang boleh dicapai antara kedua pihak. Delegasi PIL turut dibawa melawat ke Unit Patologi, Hospital Pengajar UniSZA bagi melihat pengoperasian makmal tersebut di sana.
 
Dengan pemeteraian kerjasama dua hala UniSZA dan PIL diharapkan akan memacu sinergi kecemerlangan jaringan dengan pihak industri dalam merentasi asas pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, khidmat komuniti, perundingan serta keterlibatan yang bermanfaat kepada sumber manusia dan pelajar UniSZA yang sentiasa bergerak seiring dengan keperluan dunia semasa.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara