MAJLIS APRESIASI MANTAN MENTERI DAN MANTAN TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
Category :
Semasa
420 Views
20 Disember 2023 | Kuala Lumpur - YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor UniSZA telah menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khusus untuk meraikan mantan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan mantan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal bertempat di ibu negara.
Majlis tersebut diadakan bagi menukilkan setinggi-tinggi rasa penghargaan kepada kedua-dua mantan atas kepimpinan serta jasa mereka sepanjang mengemudi KPT selama setahun yang lalu.
Majlis turut diserikan lagi dengan penyampaian ucapan dan amanat daripada kedua-dua mantan Menteri dan mantan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang diraikan.
YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, menjalankan fungsi Ketua Setiausaha KPT dan juga selaku Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT turut menyampaikan ucapan terima kasih mewakili seluruh warga KPT dan menyampaikan cenderahati perpisahan sebagai tanda kenang-kenangan.
Naib Canselor UniSZA juga tidak ketinggalan menyampaikan cenderahati dan beramah mesra bersama kedua-dua mantan Menteri dan mantan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang diraikan.
Pada pengumuman perubahan kabinet oleh YAB Perdana Menteri 12 Disember lalu, YB Dato' Seri Mohamed Khaled telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan manakala YB Dato' Haji Mohammad Yusof dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh para pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi dan Institusi-institusi Pendidikan Tinggi.