Tuesday, 10 December 2024

24 KADET KOR SUAR UniSZA TAMAT LATIHAN, DITAULIAH SEBAGAI PEGAWAI INTEGRITI MUDA

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Kuala Nerus : Seramai 24 Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KOR SUAR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditauliahkan sebagai kumpulan pertama Pegawai Integriti Muda (YIO), sekali gus menjadi ikon anak muda berintegriti dalam membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebar luas mesej antirasuah.

Pentauliahan kepada 24 Kadet Kor SUAR UniSZA ini telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki pada Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah Universiti Sultan Zainal Abidin Kohort 1/2023 yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, di sini hari ini.

Tan Sri Dato' Sri Azam dalam ucapan perasmiannya berkata, Pentauliahan kadet UniSZA sebagai YIO oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) di negara ini menjadi pemangkin kepada penubuhan dan penawaran Kursus Berkredit Kor SUAR di institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

"Kursus ini bermatlamat melahirkan graduan yang berintegriti tinggi dengan mempunyai pengetahuan dalam pencegahan rasuah serta dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dengan memulakan aktiviti penyampaian mesej antirasuah.

"Pendedahan terhadap nilai jati diri dan integriti merupakan intipati asas dalam kandungan kursus di mana pada akhir kursus ini, pelajar dapat memahami tanggungjawab SPRM dalam usaha membendung jenayah rasuah di semua peringkat," katanya.

Tan Sri Dato' Sri Azam turut menyatakan harapan kepada kesemua kadet Kor SUAR agar dapat membuktikan bahawa anugerah YIO yang diterima mereka sememangnya layak diberikan di mana peranan pencegahan rasuah mesti digerakkan serta dijayakan bersama oleh rakan strategik SPRM termasuk pihak universiti.

Pada majlis ini, kadet Ahmad Amirul Mukhlis Mohd Buhairi telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Kadet Keseluruhan Terbaik Kor SUAR, manakala kadet Nur Athirah Mohamad Zuki telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik Kor SUAR dan kadet Nur Fahimah Mohd Shukri Bala Sudaran diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Kor SUAR.

Turut diadakan juga sesi penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Kehormat Kor SUAR UniSZA di mana Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas dilantik sebagai Penolong Pesuruhanjaya Kehormat merangkap Komandan Kor; En. Mohd Fuad Husaini dilantik sebagai Penguasa Kanan Kehormat merangkap Timbalan Komandan Kor; En. Mohd Tarmizan Ibrahim (Penguasa Kehormat/Pegawai Latihan Luar Kor); Pn. Majedah Mokhtar (Penguasa Kehormat/Pegawai Akedemik Kor) dan En. Mohd Faizal Ibrahim (Penguasa Kehormat/Kem Komandan Kor).

Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof. Ts. Dr. Shukor Abd Razak; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniSZA, Prof. Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA); Dato' Haji Idris Zaharudin; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, TPj Nazli Rasyid Sulong dan Pengarah SPRM Terengganu, KPKPj Hazrul Shazreen Abd Yazid.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara