Monday, 29 April 2024

UniSZA diminta beri tumpuan agenda lahir generasi seimbang

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

KUALA NERUS: Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berharap Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan terus memberi tumpuan terhadap agenda melahirkan generasi seimbang pada masa akan datang.

Baginda bertitah, UniSZA perlu memberikan fokus terhadap usaha membebaskan anak muda dari penjara maya kepada merdeka jiwa, mandiri peribadi dan teguh iman pada zaman kecanduan ‘skrin dan alam meta’. 

Menurut baginda, kecanduan tersebut adalah merupakan punca kepada keruntuhan nilai yang berlaku ketika ini. 

Baginda yang juga Canselor UniSZA berharap universiti itu akan dapat memastikan pendigitalan universiti, seiring dengan pembangunan sosial mahasiswa.

"Pada masa ini, masyarakat global terus berhadapan dengan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek seiring dengan usia dunia yang semakin tua.

“Perkhabaran ‘futuristik’ baginda Nabi Muhammad SAW tentang fitnah akhir zaman, semakin nyata. Oleh itu, UniSZA perlu terus memberi tumpuan kepada agenda melahirkan graduan yang seimbang dunia akhirat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-15 UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Gong Badak di sini, hari ini. 

Seramai 3,608 graduan graduan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 111 orang adalah graduan doktor falsafah, 76 graduan sarjana, 2,057 graduan sarjana muda serta 1,254 graduan diploma.

Mengulas lanjut, Sultanah Nur Zahirah turut mengucapkan tahniah atas komitmen seluruh warga UniSZA dengan pencapaian kedudukan penarafan yang semakin baik ketika ini

“Beta dimaklumkan, UniSZA berada pada kedudukan 1,201 hingga 1,500, dalam Times Higher Education World University Ranking. Syabas dan tahniah.

“Akhirnya, Beta berharap barisan Lembaga Pengarah Universiti, pengurusan tertinggi, staf akademik, staf Pengurusan dan Profesional serta Staf pentadbiran dan sokongan akan terus menyumbang selaras dengan gagasan “Ilmu Demi Faedah Insan”, sebagai jariah mubarakah, yang kita bawa bersama ke akhirat,” titah baginda.

 

Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah juga berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Buat julung kalinya, UniSZA turut menganugerahkan Profesor Emeritus kepada mantan Naib Canselor UniSZA dan juga profesor di Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) UniSZA, Datuk Dr. Alias Daud.

Sumber: Utusan Malaysia

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara