Warga UniSZA berkayak sejauh 44KM, santuni komuniti setempat

Kuala Nerus – Seramai 150 peserta terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyertai program Kayak in Little Amazon of Terengganu.
Pada program yang julung kali diadakan itu, peserta perlu berkayak sejauh 44 kilometer selama tiga hari yang bermula dari Sungai Kuala Berang dan berakhir di Pulau Warisan,Kuala Terengganu.
Pengarah Program, Nurul Nazehah Arshad, 21, berkata program sepanjang tiga hari dua malam itu bukan sahaja menfokuskan pada sukan kayak tetapi turut menyantuni komuniti setempat dengan pelbagai aktiviti
“Di setiap perhentian, kami telah mengadakakan pelbagai aktviti bersama komuniti antaranya gotong royong, rewang, penyampaian Bakul Rahmah, pemeriksaan kesihatan, menanam pokok, malam kebudayaan dan ceramah motivasi”
“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan berterima kasih atas peluang dan kepercayaan yang telah diberikan untuk mengendalikan program sebesar ini”, katanya yang mjuga pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa di UniSZA
Katanya lagi, program itu juga sejajar dengan inisiatif daripada pengajian tinggi iaitu Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM), sebuah jaringan kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) , industri , agensi kerajaan dan komuniti dalam memperkasakan pelaksanaan SULAM di peringkat nasional
Sementara itu, seorang peserta, Gary Majin Anak Keyulong, 21, berkata meskipun mencabar fizikal dan mental ketika ekspedisi kayak itu, ia bukan penghalang untuk dia menamatkan aktiviti itu sejauh 44KM itu.
“Selain dapat menghayati keindahan negeri Terengganu yang sangat cantik ketika ekspedisi kayak ini, saya juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat yang cukup ramah mesra dan baik”, katanya ketika ditemui.
Anak kelahiran negeri Sarawak itu berkata, dengan adanya aktiviti komuniti seperti itu, ia dapat menjadikan pelajar sebagai hero komuniti yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi dalam membantu masyarakat yang kurang mampu
“Saya harap program seperti ini dapat dilaksanakan lagi malah diluaskan lagi dengan menarik penyertaan daripada universiti - universiti yang lain bagi memeriahkan serta mempertingkatkan budaya aktiviti yang sihat dalam golongan belia”, katanya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuteraan Pembuatan, UniSZA.
Program anjuran Perwakilan Pelajar Badan Beruniform UniSZA (PPBU) sempena Hari Malaysia itu turut mendapat kerjasama Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), Pejabat Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (HEPA), Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kolej Kediaman Dan Kesihatan.