Tuesday, 23 April 2024

UniSZA, UPSI, jalin kerjasama universiti ternama, daulat Bahasa Melayu di London

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

London - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London untuk mempromosi Bahasa Melayu di benua Eropah.



Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, jalinan kerjasama itu dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjadikan Malaysia sebagai pengantarabangsaan pusat pengajian pendidikan tinggi tanah air serta hab pembangunan bakat, sekali gus memperkembang bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.



“MoU antara kedua-dua pihak memberi fokus terhadap pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar antara kedua-dua institusi, perkhidmatan dan kerjasama dalam penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang bahasa lingua franca itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, beliau menandatangani MoU itu di SOAS, University of London hari ini dalam majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr. Fadzli Adam dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Abdul Razak berkata sebagai institusi pendidikan terulung yang berusia 100 tahun, UPSI sentiasa mencari ruang memartabatkan Bahasa Melayu sekali gus menjadikan pusat pengajian itu sebagai rujukan pendidikan di rantau berkenaan, terutamanya untuk kepentingan memartabatkan bahasa ibunda selaras dengan hasrat universiti memartabatkan kebitaraan pendidikan.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam yang turut hadir berkata kerjasama dapat dipergiat dan diperluaskan bukan sahaja terhad kepada projek pendigitalan manuskrip yang sedang diusahakan, namun turut membuka ruang kerjasama dalam bidang lain terutamanya projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara