Tuesday, 27 February 2024

UniSZA rangkul 3 anugerah di Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Putrajaya: Tiga finalis Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul anugerah di Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Muhammad Aizuddin Harif, menerima Anugerah Kepimpinan Budaya manakala pelajar Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA), Nur Ain Mohd Sabirin menerima Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek.

Sementara itu, Kelab Citra Puisi (KERISZ) UniSZA telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Fakulti/ Persatuan/ Kelab Terbaik

Aizuddin dah Nur Ain masing-masing membawa pulang wang tunai RM 2,000.00 beserta biasiswa, trofi dan sijil. Manakala KERISZ pula menerima wang tunai RM 4,000.00, trofi dan sijil.

Anugerah telah disampaikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi di Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2022 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Turut hadir YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT, Pengurusan Tertinggi KPT dan para finalis anugerah.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Fadzli bin Adam bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dato’ Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff turut hadir memberi sokongan kepada para finalis UniSZA.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata kementerian sentiasa menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Katanya, kementerian mengiktiraf secara terus dan memberi galakan kepada mahasiswa yang mempamerkan kecemerlangan kepimpinan melalui pembabitan secara langsung dalam pelbagai lapangan pembangunan insaniah yang menyumbang kepada penyerlahan potensi diri.

Menurutnya, ini adalah masa untuk mengangkat dan meneladani bakat dan pencapaian bukan sahaja dalam bidang akademik, malah merangkumi disiplin kesukanan, kebudayaan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan lain-lain lagi.

Katanya, sebanyak 916 penyertaan telah direkodkan tahun ini dan jumlah ini menunjukkan peningkatan penyertaan yang signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Kesemua pencalonan ini dicerakinkan kepada 18 penerima anugerah mengikut kategori dan satu anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan," katanya merasmikan Anugerah Tokoh Siswa, Kementerian PendidikanTinggi hari ini.

Anugerah Tokoh Siswa merupakan platform bagi memberi galakan kepada kepimpinan pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan kepimpinan selari dengan lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Anugerah ini mula diperkenalkan pada 1 Mac 2013 bagi bagi memberi pengiktirafan kepada peranan individu dan badan pelajar yang berjaya memanfaatkan secara positif ruang dan peluang yang disediakan universiti dalam melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran akademik tinggi sahsiah diri cemerlang serta memiliki ciri-ciri personaliti unggul di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara