Friday, 19 April 2024

UniSZA, YDSM dan CIMB Islamic jalin kerjasama strategik bagi mewujudkan akademi agropreneur YDSM-UniSZA

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Kuala Terengganu: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu dan juga selaku Pengerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) telah berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan CIMB Islamic bertempat di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Pemeteraian MoU itu adalah bertujuan menjalankan kerjasama strategik bagi mewujudkan Akademi Agropreneur YDSM – UniSZA yang memberi peluang kepada lebih ramai asnaf atau golongan B40 dalam kalangan pelajar UniSZA serta anak Terengganu untuk menceburi bidang pertanian berimpak tinggi pada masa akan datang.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam berkta kerjasama strategik itu melibatkan peranan YDSM sebagai badan penerima sumbangan, dana dan pemantau projek, CIMB Islamic sebagai penyumbang dana, dan UniSZA sebagai pelaksana projek.

“Akademi Agropreneur YDSM – UniSZA ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi baru agropreneur dalam bidang pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu khususnya” katanya.

KDYMM Sultan Terengganu turut menyaksikan penyerahan ‘mock cheque’ berjumlah RM350,000.00 yang merupakan sumbangan dana daripada CIMB Islamic kepada YDSM yang meliputi kos pembinaan dua rumah hijau baru dan kos latihan kepada 20 graduan asnaf/B40 UniSZA.

Bagi pihak UniSZA, MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Fadzli Adam dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Shukor Abd Razak, manakala YDSM diwakili oleh Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof dan Dato’ Haji Azizulrahim Ahmad Zambri yang mana kedua-duanya merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM. CIMB Islamic pula ditandatangani oleh Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Mohamed Nazzi Noor Mohamed Beck selaku Ketua Serantau, Inisiatif Strategik. 

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara