Sunday, 21 July 2024

Bank Susu Patuh Syariah Selamatkan Bayi Pramatang

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

KUALA NERUS, 29 Januari – Bank Susu Patuh Syariah akan membantu menyelamatkan nyawa bayi pramatang dan menjaga kesucian keturunan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA, Prof Madya Dr Normadiah Daud berkata, inisiatif itu selari dengan tuntutan maqasid syariah dalam menjaga nyawa (hifz nafs) dan keturunan (Hifz Nasl).

Katanya, peningkatan kelahiran bayi pramatang di Malaysia adalah seramai 64,620 orang yang dilaporkan pada tahun 2015 dan 30 peratus daripada jumlah tersebut menderita dengan penyakit Necrotizing enterocolitis (NEC).

“Kajian juga menunjukkan, sebanyak 50 peratus dari jumlah bayi yang dijangkiti NEC akan melalui pembedahan yang boleh menggugat nyawa bayi pramatang.

“Sehubungan itu, melalui kajian yang dibuat oleh pakar-pakar penyusuan di seluruh dunia, ternyata dengan penggunaan susu ibu boleh berlakunya penurunan sebanyak 50 peratus jumlah bayi pramatang yang dijangkiti NEC,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pejabat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak di sini baru-baru ini.

Tambah Prof Normadiah, susu ibu merupakan susu terbaik dan kandungan nutrisinya memenuhi keperluan bayi pramatang.

Di samping itu katanya, susu ibu juga mengandungi pelbagai jenis khasiat dan antibodi yang mampu mencegah bayi pramatang daripada jangkitan kuman dan penyakit.

"Bank susu patuh syariah adalah inisiatif terbaik untuk membekalkan susu ibu yang bersih kepada bayi yang sangat memerlukan.

“Keadaan ini mungkin terjadi disebabkan ibu kandung tidak mampu menyusui disebabkan faktor-faktor yang tertentu seperti sakit, meninggal dunia dan lain-lain,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Bank Susu Patuh Syariah yang dibangunkan oleh penyelidik UniSZA ini juga telah mendapat perakuan dan kelulusan daripada pihak Jawatankuasa fatwa Negeri Terengganu yang telah bersidang pada 5 Oktober 2020.

Sehubungan itu, Keputusan fatwa ini menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengharuskan penubuhan bank susu patuh syariah dengan syarat yang tertentu.

“Antara ciri utama bank susu patuh syariah iaitu setiap bayi pramatang hanya akan menerima empat kali penyusuan sahaja dari seseorang ibu,” ujarnya.

Manakala jelas beliau, bayi yang menerima susu lima kali penyusuan ke atas, mereka ini akan dipertemukan antara anak dan ibu susuan serta diberi sijil daripada badan yang berwajib.

“Ciri ini adalah bertujuan untuk menyelamatkan nyawa bayi pramatang dan menjaga kesucian keturunan sekaligus selari dengan keputusan Fatwa kebangsaan 2011.

“Muzakarah Fatwa Kebangsaan 2011 juga memutuskan adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain”, katanya.

Sumber - TRDI

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara