Friday, 19 April 2024

Tertekan PdP dalam talian sebelum dinobat graduan terbaik

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

KUALA NERUS – Kesukaran menjalani pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian kerana masalah liputan talian telekomunikasi di rumahnya di Tawau, Sabah tidak menghalang Mohd. Faridzuan Jaiby, 23, untuk cemerlang sekali gus menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen UniSZA ke-14 hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Akuatik itu memberitahu cabaran tersebut turut menyebabkan beliau terkena serangan panik sewaktu mengikuti PdP sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kursus pengajian yang saya ikuti juga tidak sesuai dilaksanakan secara dalam talian kerana memerlukan banyak penyelidikan saintifik di makmal.

“Saya tertekan sehingga terkena serangan panik kerana sukar memahami silibus yang diajar secara teori sahaja menerusi PdP, ” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja berupa wang tunai RM7,500, sijil penghargaan dan pingat bersadur emas kepada Mohd. Faridzuan.

Turut menerima anugerah sama ialah graduan undang-undang, Teng Ai Wen, 24.

Mohd. Faridzuan berkata, kemelut dialaminya selesai apabila dia dan rakan-rakan sekuliah dibenarkan semula meneruskan pengajian secara bersemuka selepas hampir lima semester menjalani PdP.

Beliau bersyukur berjaya mengatasi serangan panik berkenaan dan kembali fokus dalam pelajaran.

 

Sumber: KOSMO! ONLINE

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara