Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-13 - Ucapan Naib Canselor

BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM.
الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على أشرف المرسلين. وعلى آله وصحبه أجمعين.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH,
DAN SALAM SEJAHTERA,
- Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhaanahu Wa Ta’ala, marilah kita sama-sama menzahirkan kesyukuran kerana dengan kurnia-Nya, kita dapat berhimpun di Dewan Al-Muktafi Billah Shah pada pagi ini bagi meraikan Majlis Idul Ilmi, Konvokesyen Ke-13 UniSZA.
- Pertama sekali, saya ingin mengajak semua tetamu untuk kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu atas perkenan Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-13 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Bagi pihak keluarga UniSZA, saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pro Canselor UniSZA, Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Dr. Mohamad Yusof bin Haji Mohamed Nor dan M. Tunku Datuk Nooruddin bin Tunku Dato' Sri Shahabuddin serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Abdullah bin Md. Zin dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti atas sokongan untuk Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke 13 Universiti Sultan Zainal Abidin.
Penghargaan dan terima kasih juga kepada semua tetamu kehormat, wakil universiti tempatan, warga UniSZA, dan yang teristimewa buat ibu bapa dan penjaga, ahli keluarga serta para graduan yang hadir bagi meraikan majlis yang bersejarah ini.
- Majlis pada kali ini akan menyaksikan seramai 3,238 graduan bakal menerima diploma dan ijazah masing-masing termasuk graduan sulung dari Fakulti Biosumber dan Industri iaitu:
3.1 Ijazah Sarjana Muda Perniagaantani dengan Kepujian seramai 5 orang.
3.2 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Akuatik seramai 20 orang.
- Secara terperincinya, seramai 107 graduan merupakan penerima ijazah doktor falsafah, 84 graduan ijazah sarjana, 142 graduan diploma pascasiswazah, 1,753 graduan ijazah sarjana muda dan 1,152 graduan diploma. Sidang pertama hari ini, seramai 107 graduan akan menerima ijazah doktor falsafah, 84 sarjana dan 56 ijazah sarjana muda. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan.
Anugerah Pelajaran Diraja
- Majlis juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada dua orang graduan ijazah sarjana muda kelas pertama yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja, iaitu:
- Anakanda Muhammad Aizuddin Harif, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi; dan
- Anakanda Carolyn Loh Tze Ing, graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik dengan Kepujian dari Fakulti Sains Kesihatan.
- Pada majlis kali ini juga, saya ingin ambil peluang untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan yang telah menamatkan tugas sebagai Naib Canselor. Sesungguhnya, budi dan jasa Yang Berbahagia Dato’ telah membawa perubahan signifikan kepada UniSZA.
- Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berusaha Profesor Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Yang Berbahagia Profesor Madya Dato' Ts. Mohd Hafiz bin Yusoff @ Che Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Semoga pelantikan baharu ini akan melonjakkan lagi pencapaian UniSZA di masa hadapan.
- Setinggi penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan atas sumbangan mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Yang Berusaha Profesor Dr. Kamarul Shukri bin Mat Teh dan mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Yang Berusaha Profesor Dr. Mohd Afandi bin Salleh.
Hadirin sekalian,
Imbauan UniSZA dibawah kepimpinan 4 Naib Canselor
- Saya sangat bersyukur dan menghargai atas jasa, perancangan dan sumbangan yang telah dibuat oleh sahabat sahabat Naib Canselor sebelum ini iaitu Naib Canselor pertama Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Alias bin Daud, Naib Canselor ke dua Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Yahaya bin Ibrahim, Naib Canselor ketiga Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin A.Latif dan Naib Canselor ke empat Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan.
- Sesungguhnya sumbangan dan idea serta pembangunan yang dijalankan sewaktu kepimpinan mereka terdahulu meletakkan UniSZA sebagaimana sekarang. Asas kukuh yang terbina, kekuatan modal insan yang dibentuk, fasiliti kondusif yang dibangunkan dan kepakaran yang dimiliki menjadikan UniSZA sebagai sebuah universiti yang berpotensi besar untuk maju dan melonjak di masa hadapan.
Ayuh kita berikan tepukan gemuruh kepada keempat empat Naib Canselor yang telah mencurahkan bakti dan tenaga kepada UniSZA tercinta.
Hadirin dan hadirat sekalian,
PENCAPAIAN UniSZA : Akademik dan Antarabangsa
- Bermula 2021, UniSZA telah menawarkan program pengajian yang komprehensif, berorentasikan masa hadapan dan kolaborasi bersama pihak industri. Empat program pengajian dengan mod 2u2i mula ditawarkan iaitu:
- Sarjana Muda Teknologi Polimer dengan Kepujian, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi,
- Sarjana Muda Teknologi Pembiakbakaan Tumbuhan dengan Kepujian, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan,
- Sarjana Muda Bahasa Melayu Kontemporari dengan Media Interaktif dengan Kepujian, dan
- Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari dengan Kepujian, Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
PENCAPAIAN UniSZA : Penyelidikan dan Inovasi
- Sepanjang tahun 2021, UniSZA telah berjaya mendapat lima geran antarabangsa, enam geran korporat, 46 geran kerajaan, 54 geran universiti dan tiga lain-lain geran dengan jumlah keseluruhan RM 5,165,722.00.
- UniSZA, melalui Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) telah diberikan mandat dan tanggungjawab oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengumpul dan mendigitalkan manuskrip Islam dan Alam Melayu yang berada dalam dan luar negara untuk tempoh 3 tahun bermula 2019 dengan peruntukan dana sebanyak RM 2.5 juta. Rakan strategik Projek Pendigitalan Manuskrip UniSZA antaranya ialah Arkib Negara Malaysia, Muzium Negeri Terengganu, Telekom Malaysia, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Perpustakaan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
- UniSZA dalam penyelidikan telah menerima lima geran antarabangsa menerusi penyelidik berikut:
- Madya Ts. Dr. Yousef Abubaker Mohamed Ahmed El-Ebiary dari Fakulti Informatik dan Komputeran;
- Madya Dr. Wan Mohd Yusof Bin Wan Chik dari Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam;
- Suyatno dari Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa; dan
- Dr. Md Mahbubul Haque dari Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa.
Tahniah diucapkan.
- Dalam bidang inovasi pula, pencapaian UniSZA dalam pelbagai pertandingan inovasi amat membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan memperolehi 16 emas di International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX), Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEX); International Carnival On E-Learning (IUCEL); Minggu Penyelidikan Dan Inovasi (MPI); Pertandingan Inovasi Sempena Seminar Inovasi Pendidikan Islam Dan Bahasa Arab 2021.
PENCAPAIAN UniSZA : Pelajar dan Alumni
- Pelajar UniSZA turut menunjukkan pencapaian cemerlang dalam program dan pertandingan yang disertai pada tahun 2021. Antaranya:
- Dua orang pelajar Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi bersama pensyarah mentor telah memenangi tempat kedua dan ketiga dalam Pertandingan Reka Bentuk Perabot MOBILI 2021.
- Saudari Nur Fathini Amirah Mohd Nasir dari Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa telah memenangi tempat ketiga dalam UiTM Youth Virtual Sustainable Development Goals International Convention (UCHAMP 2.0).
- Saudara Muhammad Zikree Sukiman, pelajar Fakulti Biosumber dan Industri Makanan telah memenangi Best Oral Presentation (Food Science & Technology Category) di The 40th Malaysian Society of Animal Production Annual Conference.
- Saudari Anis Farahin Mat Wahi, juga pelajar Fakulti Sains Kesihatan telah memenangi Anugerah Nutrition Society Malaysia (NSM) Undergraduate Prize 2021 di 36th Annual Scientific Conference of Nutrition Society of Malaysia.
- Carolyn Loh Tze Ing, graduan yang mendapat Anugerah Pelajaran Diraja dari Fakulti Sains Kesihatan telah mendapat tempat pertama dalam pembentangan Oral and Poster di 26th Malaysian Dietitians’ Association (MDA) National Conference.
- Pencapaian cemerlang ini adalah usaha daripada pelajar dan dorongan UniSZA yang sentiasa mahukan pencapaian terbaik. Tahniah diucapkan. Bermula hari ini, para graduan akan bergelar alumni UniSZA dan diharapkan dapat menyumbang kepada universiti dalam pelbagai cara dan skala sama ada berbentuk sumbangan kewangan, tenaga dan buah fikiran.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
UniSZA : Masa Hadapan
- Dalam penggubalan Pelan Strategik baharu, kita akan menfokuskan kepada enam fokus yang signifikan seperti berikut:
- Pertama; Pemerkasaan Proses Digitalisasi yang akan memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur dan infostruktur.
- Kedua; Kemapanan Kewangan UniSZA yang akan memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan, wakaf dan juga endowmen.
- Ketiga; Memperluas Jaringan Industri Antarabangsa yang akan meningkatkan keterlihatan dan kolaborasi bersama agensi serta industri antarabangsa.
- Keempat; Lonjakan Penarafan dan Kedudukan di mana kita mensasarkan pada tahun 2025, untuk berada pada kelompok 300 terbaik bagi Penarafan QS Asia Ranking, tangga 150 bagi UI Green Metric World University Ranking dan pencapaian 5 bintang bagi Penarafan SETARA dan MyRA.
- Kelima; Pengoperasian Hospital Pengajar UniSZA yang akan menjadi salah satu enabler dalam melonjakkan nama dan prestasi UniSZA khususnya dalam aspek pembangunan kesihatan dan juga perkhidmatan komuniti.
- Keenam: Pemerkasaan Penyelidikan dengan menubuhkan kluster berkaitan dua nic utama iaitu nic kelestarian kesihatan, perniagaan dan teknologi serta nic peradaban Islam kontemporari.
Penutup : Penghargaan dan Terima Kasih
- Kepada para graduan sekalian, saya pasti dan percaya bahawa untuk sampai ke tahap hari ini bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai proses telah ditempuhi sepanjang tempoh pengajian terutama ketika wabak pandemik melanda. Namun begitu, berkat usaha, kesabaran, pengorbanan dan semangat, akhirnya anakanda sekalian berada disini dengan jubah konvokesyen. Saya ingin berpesan supaya anakanda meneruskan perjuangan mencipta lebih banyak kejayaan dalam kehidupan. Bawalah nama UniSZA bersama kalian dalam menggapai cita cita yang diingini. Teruskan menimba ilmu walau dimana anakanda semua berada. Imam Al Ghazali pernah berpesan:
“Bersungguh-sungguhlah engkau dalam menuntut ilmu, jauhilah kemalasan dan kebosanan kerana jika tidak demikian engkau akan berada dalam bahaya kesesatan.”
“Bantinglah otak untuk mencari ilmu sebanyak-banyaknya mencari rahsia besar yang terkandung di dalam benda besar bernama dunia ini, tetapi pasanglah pelita dalam hati sanubari, iaitu pelita kehidupan jiwa".
- Kita juga patut rasa bersyukur dan berbangga kerana UniSZA memiliki para murabbi dan sarjana serta ilmuwan yang berkaliber dan tidak pernah putus asa dalam menyampaikan ilmu. Mereka juga adalah insan penting bagi kejayaan kita semua pada hari ini. Ayuh para graduan kita berikan tepukan gemuruh juga kepada para pensyarah kita.
- Kepada semua ibu bapa, penjaga dan keluarga, syabas dan tahniah saya ucapkan atas kejayaan graduan pada hari ini. Sesungguhnya doa, nasihat, pesanan dan pengorbanan kalian juga adalah inspirasi kepada graduan semua. Tanpa kalian mereka semua tidak mungkin mampu berada di dewan hari ini.
Ayuh anakanda graduan sekalian, silakan berdiri. Carilah wajah ibu dan ayahmu dan keluargamu dalam dewan sekarang. Lambaikanlah tangan mu. Wajah yang sedang memandang inilah wajah yang bersama dengan kalian dikala susah senang sepanjang pengajian. Ayuh, kita berikan tepukan gemuruh kepada mereka sebagai tanda penghargaan.
- UniSZA juga berjanji kepada bonda, ayahanda dan graduan, bahawa kami akan terus memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan khususnya graduan yang kalis masa hadapan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri, kerajaan dan negara. UniSZA juga akan memberi fokus kepada pembangunan pengajaran dan pembelajaran dimana sumber manusia yang dimiliki akan diperkasakan dengan nilai dan etika yang menjadi asas penting kualiti sistem akademik universiti.
- Dalam kesempatan ini juga, mewakili seluruh warga UniSZA, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran dif jemputan, para pensyarah, ibu bapa, penjaga, keluarga, serta semua yang terlibat menjayakan Majlis Idul Ilmi, Konvokesyen Ke-13 UniSZA ini.
- Akhir kata, penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli Lembaga Pengarah Universiti, pegawai utama universiti, ahli Senat, pegawai kanan, staf akademik, staf pentadbiran, dan seluruh warga UniSZA atas segala komitmen yang dilakukan selama ini. Mudah-mudahan dengan taufik-Nya, kita sama-sama berganding bahu untuk menjadikan UniSZA sebagai dataran abidin yang menjunjung integrasi ilmu naqli dan akli, serta tradisi ilmuwan yang beradab dan berakal budi. Saya juga mendoakan agar kita semua mendapat perlindungan Allah Subhaanahu Wa Ta’ala daripada sebarang ujian getir, penyakit serta musibah.
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.