Thursday, 25 April 2024

JKR serah Hospital Pengajar UniSZA, hari ini

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

KUALA NERUS – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia hari ini menyerahkan Projek Siap Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA).

Projek tersebut diserahkan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Menjalankan Tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Sr. Amran Haji Mohd Majid kepada Naib Canselor UniSZA (Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Prof Fadzli Adam berkata, pembinaan projek hospital pengajar telah bermula pada 2016 dan telah tertangguh kerana pelbagai isu dan cabaran.

“Alhamdulillah, hari ini, 7 Februari telah terpahat satu sejarah kepada UniSZA dengan penyerahan projek hospital pengajar ini”

“Kita jangka HPUniSZA ini akan beroperasi pada pertengahan 2022 dan bermula dengan khidmat pesakit luar” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin, di Dewan Auditorium, HPUniSZA.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA, Dr. Azmi Omar, Setiausaha Bahagian, KPT, Puan Azlinda Azman dan Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 1, JKR, Dato’ Ir. Roslan Ismail.

Prof Fadzli berkata, HPUniSZA berkapasiti 200 katil itu akan menjadi pusat perubatan dan bagi pembelajaran bagi pelajar Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Farmasi serta lain-lain fakulti yang menawarkan bidang berkaitan.

“InsyaAllah, mutu kesihatan masyarakat di Terengganu khasnya dan Pantai Timur amnya dapat ditambah baik dengan kepakaran yang ada pada pensyarah perubatan, pakar-pakar perubatan serta doktor dari Hospital Pengajar ini”, katanya pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi Menandatangani Dokumen Penyerahan Bangunan dan Penyampaian Simbolik  Replika Kunci.

Terdahulu, dif-dif kehormat telah melawat Galeri Projek dan mendengar taklimat oleh Pasukan Projek Khas 1, JKR Malaysia di Lobi HPUniSZA.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara