UniSZA bangun aplikasi terapi digital bantu penagih dadah
KUALA TERENGGANU, 19 Okt -- Sekumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya membangunkan aplikasi telefon pintar Inabah Maya (V-Inabah) iaitu program terapi jiwa secara digital dan interaktif bagi membantu komuniti penagih dadah di negara ini.
Ketua Projek V-Inabah Profesor Dr Lua Pei Lin berkata aplikasi itu adalah antara yang terawal di Malaysia menggunakan kaedah terapi jiwa, kerohanian dan keagamaan untuk membantu golongan tersebut mengatasi masalah ketagihan dadah.
"Projek rasmi bermula pada September tahun lepas dan kini dalam fasa akhir pengumpulan maklum balas daripada responden. Aplikasi ini turut menyediakan nota, video dan latihan yang sesuai untuk rawatan terapi emosi, psikologi dan keagamaan kepada penagih dadah.
"Perkembangan rawatan juga akan dipantau melalui aplikasi ini secara berterusan dan berdasarkan maklum balas awal 73 peserta, mereka sangat berpuas hati dengan modul terapi yang disediakan dalam aplikasi V-Inabah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
V-Inabah adalah projek hasil tajaan geran universiti translasional (TUG) daripada UniSZA yang bernilai RM25,000.
Ia turut dibangunkan secara bersama dengan pakar pengajian Islam UniSZA Profesor Madya Dr Abdul Manam Mohamad dan pakar teknologi informatik UniSZA Profesor Dr Mokhairi Makhtar serta Pondok Remaja Inabah yang terletak di Kampung Sungai Ikan dekat Kuala Nerus.
Pondok Remaja Inabah adalah pusat rawatan pemulihan dadah milik persendirian dan telah beroperasi sejak 1989 serta mendapat pengiktirafan pelbagai pihak berikutan kejayaan cemerlang dalam membebaskan penghuninya daripada pengaruh dadah.
Dr Lua berkata keistimewaan aplikasi itu ialah kerahsiaan penagih lebih terjaga, boleh diakses di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa serta sesuai untuk mereka yang tidak sempat mengikuti rawatan terapi dadah secara fizikal.
Beliau berkata penagih yang kurang berkemampuan, wanita, golongan profesional yang terjebak dan berdepan masalah pengangkutan atau lokasi jauh dari Pondok Remaja Inabah boleh mencuba kaedah terapi itu yang mesra komuniti.
"Dengan terbentuknya kerjasama penyelidikan yang melibatkan masyarakat seperti ini, UniSZA semakin berperanan kukuh dalam menyalurkan manfaat yang amat bernilai kepada para penagih dadah serta ahli keluarga dan rakan taulan mereka.
"Usaha beginilah yang perlu dipertingkat di antara institusi pendidikan tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat secara keseluruhan demi memacu kualiti kehidupan penduduk di Malaysia untuk masa depan yang lebih terjamin," katanya.
V-Inabah juga pernah memenangi Anugerah Semi Grand ketika dipertanding di Minggu Penyelidikan & Inovasi 2021 pada Mac lepas.
-- BERNAMA