PPV Integrasi UniSZA Melabuhkan Tirai Hari Ini
Kuala Nerus: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melabuhkan tirai selepas 77 hari beroperasi sejak 9 Jun lalu.
Naib Canselor UniSZA (Menjalankan Fungsi), Prof Dr. Fadzli Adam, berkata sehingga hari ini seramai 39,258 penerima telah menerima suntikan dos pertama dan 38,201 menerima suntikan dos ke dua.
“Ini adalah satu sumbangan yang amat besar yang telah diberikan oleh PPV Integrasi UniSZA kepada komuniti dalam membantu melawan pandemic Covid-19”
“Ia juga adalah suatu bentuk kolaborasi yang unik bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, COVID-19 Immunisation Task Force (CITF), ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dan juga UniSZA Holdings Sdn Bhd”, katanya pada majlis Penutup Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi UniSZA, hari ini di Dewan Al-Muktafi Billah Shah.
Katanya lagi, seramai lebih 400 orang staf UniSZA telah terlibat sebagai petugas dan turut dibantu dengan 20 orang sukarelawan MYVAC Kementerian Belia dan Sukan yang terdiri daripada pelajar UniSZA dan bukan UniSZA.
“Alhamdulillah, sejak PPV ini dibuka , mereka bertugas hampir setiap hari termasuklah pada hari cuti umum tanpa mengenal penat Lelah demi menjayakan program imunisasi kebangsaan”
“Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja, petugas serta sukarelawan PPV Integrasi UniSZA yang telah mengorbankan masa dan tenaga dalam menjayakan program imunisasi ini”, katanya.
Majlis penutup itu turut meraikan penerima vaksin yang terakhir iaitu Romaizi Mustafa, 55, dengan memberi suntikan dos ke dua kepada beliau dia atas pentas sambil disaksikan petugas dan sukrelawan PPV.