Sukan
Olimpik Tokyo: Dato’ Azizulhasni Awang raih perak dan menangi hati rakyat Malaysia
KUALA NERUS : Jaguh berbasikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang menutup tirai Olimpik Tokyo 2020 dengan menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam acara keirin lelaki di Velodrum Izu Tokyo, semalam. Kejayaan beliau jelas menceriakan seluruh warga Malaysia yang menyaksikan aksi beliau di pentas akhir dengan penuh debar.
Aksi Dato’ Azizulhasni dalam acara keirin lelaki memang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia memandangkan beliau merupakan jaguh dalam acara tersebut dan sandaran untuk meraih emas pertama negara di pentas Olimpik. Walaupun sasaran Emas tidak dicapai, Azizul jelas menunjukkan aksi yang memukau dengan menewaskan juara Dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen bagi menggondol pingat Perak. Kejayaan ini memperbaiki pencapaian Azizulhasni yang sebelum ini meraih pingat gangsa di Olimpik Rio 2016.
Kejayaan Azizulhasni di Olimpik Tokyo kali ini jelas menggembirakan rakyat Malaysia yang rata-rata terharu dan memuji kesungguhan atlet yang berasal dari Terengganu ini sepanjang menggalas misi negara. “Dato’ Azizulhasni Awang berusia 33 tahun tahun ini dan akan berusia 36 tahun di Olimpik Paris 2024. Jika lagenda basikal dunia Sir Chris Hoy boleh menang emas Ketika usia 36 tahun, kenapa tidak anak Malaysia?”, ujar seorang peminat di media sosial.
Terdahulu, kem Malaysia mengutip pingat gangsa dalam acara badminton menerusi pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada penentuan pingat.
Sumber: Azizulhasni Awang