Keakraban dua beradik, janji vaksin bersama

Kuala Nerus: Keakraban dua beradik sejak kecil membuatkan mereka berjanji untuk hadir menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Sultan Zainal Abidin (PPV IPT (Intergrasi) UniSZA), di sini, hari ini. Zalillah Muda, 85 ketika ditemui berkata, dia rasa sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih untuk menerima vaksin bersama adiknya, Aminah, 80.
Alhamdulillah, dapat juga saya dan Aminah menerima vaksin bersama-sama sebab memang dah janji untuk pergi berdua jika dapat temujanji untuk vaksin ini. Kami berdua kecil sejak lagi memang akan bersama ke mana sahaja. Biasanya kami ke kenduri kahwin, mengundi dan menziarahi keluarga memang pergi bersama
katanya ketika ditemui.
Zalillah dan Aminah yang berasal dari Kampung Balai Maras menaiki kerusi roda dan ditemani anaknya tiba di PPV IPT (Intergrasi) UniSZA seawal jam 10 pagi tadi.
Sementara itu, anak Zallilah, Zadil Hayat berkata kedua mereka begitu gembira dan teruja kerana giliran untuk menerima vaksin adalah hari yang sama.
“Sejak mereka kehilangan suami, mereka tinggal bersama saya dan saya tahu dari kecil lagi dia berdua akrab jadi ia tidak menjadi masalah buat kami semua”
“Walaupun kedua mereka berkerusi roda, Alhamdullillah saya dan suami dapat selesaikan urusan vaksin mereka sehingga selesai”, katanya.