Sunday, 09 June 2024

Tiga beradik sakit kronik lega divaksin COVID-19

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

KUALA NERUS, 24 Ogos -- Tiga beradik yang menghidap penyakit kronik lega apabila hasrat mereka untuk mendapat vaksin COVID-19 dipermudahkan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Hari ini, lapan petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi UniSZA hadir ke rumah mereka di Kampung Teluk Pasu di sini untuk memberi suntikan dos pertama kepada Zaleha Awang, 62, Rozelan, 54 dan Yusof, 44.

Rozelan yang menghidap strok kini terlantar di katil sejak sembilan bulan lepas, Zaleha pula sukar bergerak kerana diabetes kronik menyebabkan kaki kirinya dipotong hingga paras paha manakala Yusof sedang menerima rawatan diabetes dan tidak boleh hadir ke PPV bersendirian.

Yusof ketika ditemui pemberita hari ini berkata beliau bersyukur kerana kepayahan mereka mendapat perhatian daripada UniSZA yang sanggup turun padang untuk melancarkan proses vaksinasi tersebut.

"Kami mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk tiga beradik dan ibu, Mariam Yusof, 78, namun apabila dapat tarikh janji temu vaksinasi di UniSZA, kami terpaksa tolak kerana tiada kenderaan untuk pergi ke sana. Hendak minta tolong saudara mara atau kawan pun agak sukar kerana ada juga yang terlantar.

"Tidak lama kemudian, PPV Integrasi UniSZA hubungi kami dan tanya kenapa tolak vaksin sedangkan tarikh janji temu sudah ada. Selepas mengetahui kekangan yang kami hadapi, mereka maklumkan akan datang suntik ke rumah," katanya.

Selain ibu mereka, Yusof berkata kakaknya, Shani, 50 dan sepupunya, Najihah Awang @ Yong, 27, yang menjaga keperluan tiga pesakit kronik itu turut menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 mereka hari ini.

Sementara itu, Ketua Pasukan Data dan Penyelaras PPV Integrasi UniSZA Norkhairani Abdul Rani berkata pihaknya sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada mana-mana pihak yang berdepan kekangan untuk hadir ke PPV.

"Tambahan pula, tiga penghuni di rumah ini adalah pesakit kronik dan ibu mereka warga emas, wajarlah untuk kita bantu mereka kerana jumlahnya ramai. Paling penting, sentiasa berhubung dengan kami sekiranya ada kekangan untuk hadir ke PPV untuk mencari penyelesaian," katanya.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2024 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara