‘Sasterawan Cilik’ Tonjol Bakat di Perpustakaan UniSZA
KHAMIS, 31 OKTOBER 2019
Puisi-puisi hasil nukilan sasterawan terkenal, A. Samad Said berkumandang di Atrium Perpustakaan UniSZA apabila dideklamasikan oleh ‘sasterawan cilik’ dalam Pertandingan Deklamasi Puisi Sasterawan Cilik di UniSZA yang telah diadakan pada 24 Oktober 2019.
Pertandingan bersempena program ‘Sekolahku Universitiku’ itu adalah bertujuan untuk mendedahkan ilmu baharu kepada para pelajar selain merupakan medan yang dapat menonjolkan bakat yang ada dalam diri pelajar tersebut. Selain itu, para pelajar juga dapat menghayati dan menghargai sastera serta karya para sasterawan negara ini.
Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah (SKTB) mendeklamasikan puisi-puisi daripada naskhah ‘Rindu Ibu’ karya A. Samad Said.
Para peserta telah diadili oleh dua orang juri jemputan iaitu Encik Mohamad Muhaymen Ahmed Zawawi dari Pusat Pengajian Teras (PPT), UniSZA dan Encik Syaiful Hisyam Saleh dari Perpustakaan UniSZA.
Pertandingan itu telah dimenangi oleh Wan Nur Muizzah Wan Hazahari yang mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Sekolah’. Manakala naib johan pula dimenangi Arissa Farahin Adnan mendeklamasikan puisi ‘Cekal Guru’ dan tempat ketiga disandang Ariana Batrisya Hasni Osman (Bayang).

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Penolong Ketua Pustakawan UniSZA, Encik Mohd Sabri Muda.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA






