Perpustakaan UniSZA, JPNT dan BTPNT perkukuh kolaborasi anjur Bicara Antara Benua 4.0 SPAME…: Worldwide Journey With UniSZA
Perpustakaan UniSZA meneruskan kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT),dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT) dengan menganjurkan program Bicara Antara Benua4.0, SPAME…: Worldwide Journey With UniSZA. Program kali ini juga menampilkan Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang (SPAME) sebagai rakan kolaborasi yang baharu.
Program bual bicara berbahasa Inggeris yang berlangsung pada 18 Mei 2017 di Auditorium Perpustakaan UniSZA ini mengundang pelajar-pelajar sekolah, guru serta beberapa orang ahli panel lain yang mewakili pelbagai negara.
Ia juga merupakan sebuah Program Pengantarabangsaan Aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS) Negeri Terengganu. Ahli-ahli panel yang diundang pada program ini mewakili empat buah negara iaitu Encik Cornelius Anuar Abdullah Mc Afee (Kanada) selaku moderator, Encik Kazuki Iseno (Jepun), Encik Gwadabe Nasai Muhammad (Nigeria), Encik Qais Mustafa Mohamed (Libya), Guru Besar, SPAME, Puan Mahshuri Ismail, Puan Jamilah Ismail (guru) dan tiga orang pelajar SPAME iaitu saudari Nur Ulfah Athirah Mohamad, saudari Nadiatul Husna Aqilah Rosli, dan saudara Muhammad Shahril Hakim Foo Mohd Sharif Foo yang mewakili Malaysia.
Selain SPAME, program kali ini mencatatkan penyertaan para pelajar dan guru daripada sembilan buah sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kemunting, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Sekolah Kebangsaan Binjai, Sekolah Kebangsaan Mangkok, Sekolah Kebangsaan Merang ,Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek serta beberapa orang wakil dari JPNT dan BTPNT.
Program ini membincangkan topik perkembangan dan minat membaca dalam kalangan masyarakat yang berlainan bangsa, budaya dan negara. Ia juga adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kebolehan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selain memberi keyakinan kepada mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut dengan lebih baik.
Program tersebut dirasmikan oleh Pustakawan Kanan, UniSZA, Puan Norulhuda Makhtar. Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan membaca dan menguasai pelbagai bahasa kerana dengan penguasaan bahasa yang baik khususnya bahasa Inggeris mampu memberikan kita peluang untuk menguasai pelbagai cabang ilmu.
“Sekiranya kita mampu menguasai bahasa, maka kita juga mampu menguasai ilmu. Misalnya, jika kita hendak memahami al-Quran dan seluruh isinya, maka kita perlu memahami bahasa Arab kerana sudah terang lagi bersuluh, bahasa Arab adalah bahasa al-Quran,” katanya.
Beliau turut menambah, “penguasaan bahasa tambahan akan dapat membantu untuk menyertai tenaga kerja global. Aspirasi kementerian adalah untuk memastikan setiap murid di peringkat rendah hingga menengah, berpeluang mempelajari bahasa tambahan. Justeru kemahiran berbahasa adalah penting untuk melalui proses transformasi masa depan negara.” katanya.
Terdahulu, pengisian lain turut diadakan iaitu ceramah motivasi yang disampaikan secara santai oleh Pengarah Kolej Kediaman UniSZA, Dr. Mohd. Shahril Othman.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah, BTPNT, Tuan Haji Alias Talib, Penyelia Bahasa Inggeris, JPNT, Encik Mohd Ruslee Bin Talib dan Ketua Unit Perkhidmatan Sumber Pendidikan, BTPNT, Tuan Haji Akram@Amir Abd. Majid.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA