Perpustakaan UniSZA rai tetamu istimewa dari Sungai Berua
Perpustakaan UniSZA telah menerima kehadiran ibu bapa dan murid Orang Asli seramai 60 orang dari Sungai Berua, Hulu Terengganu pada 5hb April 2015. Lawatan ini adalah salah satu daripada pengisian program yang disertai mereka iaitu Program Aim4U dengan fokus ‘Orang Asli Menongkah Ke UniSZA’ anjuran Pusat Penataran Ilmu (PPI), UniSZA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan juga Pusat Islam, UniSZA. Rombongan diiringi bersama Timbalan Pengarah, Pusat Penataran Ilmu (PPI) iaitu Prof. Madya Che Wan Takwa Che Abu Bakar dan beberapa orang pegawai UniSZA turut dibawa melawat ke seluruh Perpustakaan UniSZA bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai perpustakaan serta mewujudkan suatu pengalaman berharga kepada mereka. Mereka turut diberi penerangan serta taklimat ringkas oleh pustakawan UniSZA, Cik Marlina Jaafar. Ini juga dapat memberikan mereka peluang untuk melihat dengan lebih dekat serta merasai pengalaman sebenar bergelar pelajar universiti. Selain itu, ia merupakan suatu usaha untuk menarik minat mereka menyambung pengajian di UniSZA. Lawatan singkat selama setengah jam ke Perpustakaan UniSZA ini mampu memberikan impak positif kepada mereka dalam menyemai kesedaran serta menggalakkan penglibatan mereka terutama generasi muda ke universiti. Sesi lawatan berakhir jam 4.00 petang.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR
Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA






