PRS, PPS dan Pengawas Sekolah kunjungi Perpustakaan UniSZA
Seramai 32 orang pelajar yang terdiri daripada Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pengawas Pusat Sumber (PSS) dan Pengawas Sekolah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman, Ajil telah hadir mengunjungi Perpustakaan UniSZA pada 23 Mac yang lalu. Rombongan ini turut disertai oleh dua orang guru pengiring yang tiba pada jam 10.30 pagi. Lawatan ini yang merupakan lawatan penanda arasan adalah bertujuan untuk mempelajari dengan lebih mendalam cara pengurusan Perpustakaan UniSZA dan lain-lain aspek yang berkaitan dengan perpustakaan. Para pelajar serta guru telah disambut oleh para staf dan juga pustakawan Perpustakaan UniSZA serta turut diberikan taklimat ringkas mengenai perpustakaan. Rombongan ini telah dibawa melawat ke seluruh Perpustakaan UniSZA bagi memberi pendedahan serta pengetahuan baru kepada warga sekolah terutamanya mengenai perpustakaan.
Ini merupakan salah satu usaha berterusan Perpustakaan UniSZA untuk mendekatkan perpustakaan dengan warga sekolah dan pendidik. Selain itu, lawatan ini juga dapat mengeratkan hubungan yang terjalin antara Perpustakaan UniSZA serta komuniti di luar UniSZA.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR
Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA






