Pustakawan UniSZA seru budayakan tabiat membaca sebagai gaya hidup baru

Pustakawan Kanan UniSZA, Puan Norulhuda binti Makhtar menyeru supaya masyarakat kini membudayakan tabiat membaca dan menjadikannya sebagai suatu gaya hidup baru. Menurut beliau, golongan masyarakat yang rajin membaca akan mampu meletakkan diri mereka pada suatu martabat yang jauh lebih tinggi berbanding dengan golongan yang malas membaca. Ini kerana mereka inilah yang akan menjadi sumber rujukan untuk golongan yang cintakan ilmu dan kemajuan. Beliau berkata demikian ketika hadir mewakili Ketua Pustakawan, Perpustakaan UniSZA, Puan Rohani Othman, bagi merasmikan Majlis Pelancaran Program NILAM pada 26 Februari 2015, Khamis lalu. Perasmian program telah berlangsung di Dataran Perhimpunan, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKGB), Kuala Terengganu. Beliau turut menambah, mereka yang sudah menjadikan amalan membaca ini sebagai suatu budaya akan sentiasa membaca tidak kira bila dan di mana sahaja mereka berada. Ini merupakan suatu amalan yang harus dipuji dalam usaha kita melahirkan modal insan cemerlang yang akan menjadi aset terpenting negara.

Atas dasar inilah, program NILAM atau “Nadi Ilmu Amalan Membaca” ini dilancarkan di peringkat negeri Terengganu pada 26 Ogos 1999 hasil cetusan idea Kementerian Pendidikan Malaysia. Hasrat serta matlamatnya begitu murni iaitu untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang seterusnya akan melahirkan pelajar-pelajar yang suka membaca dan cintakan ilmu.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Tuan Haji Mazuki bin Abdul Ghani, yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Pegawai Teknologi Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT), Encik Amir bin Hamzah, Puan Rosnorzaini binti Rusli (Pustakawan Kanan UniSZA), Guru-guru Penolong Kanan, Guru Perpustakaan Media, Guru Penyelaras Program NILAM, Ahli Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan guru-guru SKKGB.

Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR
Gambar ROSNORZAINI RUSLI






