‘Mencari yang halal’ di HALEX, Perpustakaan UniSZA
Agama Islam amat mengambil berat tentang pengambilan makanan oleh umatnya. Justeru, adalah menjadi kewajiban bagi setiap umat Islam untuk mengambil berat tentang persoalan yang halal lagi baik. Rasulullah menegaskan juga di dalam sabdanya: “mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Sejajar dengan itu, Perpustakaan UniSZA dengan kerjasama Jabatan Halal, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengambil pendekatan ini dengan menganjurkan Halal Exhibition (HALEX) atau Pameran Halal, bertempat di Perpustakaan UniSZA, bermula dari 23 Disember 2014 hingga 24 Disember 2014 ini. Pameran ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai permohonan dan pengeluaran sijil dan logo halal serta memberi penerangan yang lebih jelas kepada orang awam bagaimana cara pihak JAKIM memastikan ssebuah premis itu mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Manual Standard 1500:2009. Selain itu, ia juga merupakan medium dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada pengguna tentang logo halal yang disahkan oleh JAKIM serta cara permohonan dan pengeluaran sijil dan logo halal tersebut. Bersempena pameran ini juga, aktiviti lain yang diadakan adalah kuiz dan cabutan bertuah. Semua warga UniSZA adalah dialu-alukan dan dijemput untuk mengunjungi program ini.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR
Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA






