Bengkel Mendeley raih penyertaan 50 warga akademik UniSZA

Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar siswazah, pensyarah dan juga pegawai sains hadir bagi menyertai Bengkel Asas Mendeley anjuran Perpustakaan UniSZA. Bengkel sehari yang diadakan pada 16 Disember 2014, bertempat di Makmal Komputer, Perpustakaan UniSZA mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan khususnya daripada para pelajar siswazah yang mula menghantar penyertaan seawal ia mula dibuka mulai 9 Disember 2014. Bengkel ini telah dikendalikan oleh pensyarah dari Fakulti Bahasa & Komunikasi, Cik Zurina Binti Khairuddin dan ianya terbuka kepada seluruh warga akademik UniSZA.
Ia diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta tentang kaedah pengurusan artikel yang teratur dan berkualiti di mana peserta turut diberi tunjuk ajar dan penerangan khusus berkaitan teknik pengendalian perisian Mendeley Reference Manager yang digunakan untuk pengurusan artikel-artikel bagi tujuan penyelidikan oleh para penyelidik, pensyarah dan para pelajar. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kemahiran para peserta terhadap kaedah pengurusan artikel penyelidikan yang lebih berkesan, mantap dan berkualiti seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa dalam bidang penyelidikan. Antara slot yang mengisi program ini adalah kemahiran asas Mendeley, mencari dan menyimpan sumber rujukan dan juga mengurus dan menulis sumber rujukan di dalam Word Document.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UniSZA, Puan Faridah binti Muda.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR
Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA






