‘Jom Beli Sambil Beramal’ di Perpustakaan UniSZA
Bermula 2 November sehingga 6 November 2014, bertempat di lobi Perpustakaan UniSZA, sedang berlangsungnya program ‘Jom Beli Sambil Beramal’. Program ini adalah merupakan jualan pelbagai barangan pengguna perpustakaan yang ditinggalkan di dalam perpustakaan dan tidak dituntut oleh para pemiliknya. Ia melibatkan pelbagai jenis barangan termasuklah bahan-bahan bacaan, buku-buku nota, alatulis, beg, jam tangan dan beberapa lagi jenis barangan yang masih baik kualitinya dan ditawarkan dengan harga yang berpatutan. Program ini adalah inisiatif dan pendekatan yang diambil oleh Perpustakaan UniSZA setelah pelbagai usaha dibuat untuk mengembalikan barangan tersebut kepada pemiliknya namun masih tidak dituntut. Langkah ini juga dilaksanakan setelah merujuk secara khusus kepada para pensyarah yang arif dalam bidang syariah mengenai perkara ini. Segala hasil jualan amal ini akan disumbangkan kepada Tabung Masjid UniSZA dan bahan-bahan bacaan yang sesuai untuk para pengguna pula akan disumbangkan kepada Perpustakaan UniSZA. Oleh itu, sekiranya anda sebagai warga UniSZA berminat untuk mendapatkan pelbagai barangan tersebut dan ingin menderma, jangan lepaskan peluang ini dan anda dijemput mengunjungi lobi Perpustakaan UniSZA sepanjang program tersebut berlangsung.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR
Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA






