Aplikasikan Konsep Iqra’ Dalam Kehidupan

Perkataan iqra’ adalah perkataan pertama yang diajar kepada Rasulullah SAW tatkala Baginda menerima wahyu pertama dari Allah. Ini memeberikan petunjuk dan maksud bahawa membaca dan menuntut ilmu adalah merupakan sesuatu yang wajib dan sangat dituntut dalam Islam.
Begitulah antara ucapan oleh Penolong Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Kamaruddin Mohd Said ketika beliau melancarkan Program Khidmat Masyarakat Perpustakaan UniSZA: Projek Pengorganisasian dan Pengautomasian Pusat Sumber Sekolah di Atrium, Perpustakaan UniSZA, pada 7hb November 2013.
Beliau turut menyeru semua warga UniSZA khususnya untuk mengadaptasi dan mengaplikasikan konsep iqra’ dalam kehidupan seharian kerana ia merupakan teras kehidupan manusia. Selain itu, beliau juga menyatakan dalan ucapannya bahawa segala yang kita baca perlulah diamalkan dan diuruskan secara sistematik. Justeru, Program Khidmat Masyarakat (CSR) yang dijalankan ini mampu memberi impak yang besar bukan sahaja kepada UniSZA malahan kepada pembangunan pendidikan itu sendiri. Program seperti ini juga merupakan suatu perkara yang amat bermakna dalam mengembangkan serta menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat luar.
Menyedari hakikat ini, Projek Pengorganisasian Bahan dan Pengautomasian Pusat Sumber Sekolah merupakan salah satu Tanggungjawab Sosial Universiti (CSR) Perpustakaan UniSZA untuk masyarakat khasnya dalam pengorganisasian bahan Pusat Sumber Sekolah (PSS). Matlamat utamanya adalah untuk menaik taraf PSS dari bentuk tradisional kepada PSS berlandaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya dapat membantu mempertingkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) demi mencapai kecemerlangan di sekolah. Untuk itu, satu sistem ini telah dibangunkan sendiri oleh Pustakawan UniSZA menggunakan perisian Microsoft Access.
Projek ini telahpun dijalankan di empat (4) buah sekolah yang dipilih sebagai projek perintis bagi UniSZA. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, Sekolah Menengah Kebangsaan Rusila dan Sekolah Menengah Kebangsaan Matang. Pelaksanaan projek di peringkat sekolah bermula pada Jun 2012. Kerja-kerja pemantauan bagi mendapatkan keberhasilan projek sedang giat dijalankan.
Dalam projek ini, pihak Perpustakaan UniSZA telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT).
Di samping itu, Prof. Dr Kamaruddin turut menyatakan usaha murni dan peranan Perpustakaan UniSZA ini perlulah dipandang tinggi serta mengharapkan agar amalan membaca dapat diperluaskan selaras dengan konsep iqra’ tersebut.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR
Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA






