Lucero dan UniQ Meraih Penarafan Perak dan Gangsa dalam Konvensyen KIK Peringkat IPTA 2013 di UUM, Sintok

Buat julung kalinya, Lucero dan UniQ berjaya untuk mewakili UniSZA di peringkat IPTA dalam Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK). Konvensyen KIK yang ke-9 ini berlangsung selama tiga hari iaitu 20 hingga 22 Mei 2013 yang bertempat di Dewan Mu’adzam Shah (Dewan MAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok. Konvensyen ini disertai oleh 19 buah kumpulan dalam kategori pengurusan dan 16 buah kumpulan dalam kategori teknikal yang membawa jumlah penyertaan sebanyak 25 buah kumpulan kesemuanya. Kumpulan-kumpulan ini adalah daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Perlis (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Univesiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

 

Setiap kumpulan masing-masing membawa hasil dapatan kajian untuk dipersembahkan kepada tiga orang juri yang menghakimi pertandingan ini bagi Kategori Pengurusan dan tiga orang juri bagi Kategori Teknikal. Juri-juri yang dijemput bagi kategori pengurusan adalah Encik Md. Shubri Ismail dari MPC, Encik Fazli Said dari MAMPU dan Dr. Nor Asikin Salleh dari IAB. Manakala bagi kategori teknikal pula juri-jurinya adalah Encik Kabir Ahmad Mohd Jamil dari MPC, Encik Basid Ramli dari SIRIM dan Encik Shahrim Hussin dari MAMPU. Penganugerahan projek dinilai dari segi keaslian idea, mudah lagi memperkasakan dan seterusnya memberi impak yang besar. Persembahan kumpulan bermula pada hari kedua sejurus selepas majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Ybhg. Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Dr. Mohamed Mustafa Ishak iaitu pada jam 9.30 pagi.


Kumpulan Lucero dan UniQ ini telah mencatat nama di peringkat UniSZA semasa dinobatkan sebagai Juara dan Naib Juara di Konvensyen KIK Peringkat UniSZA pada 7 Mac 2013 yang lalu. Pasukan UniSZA ini juga pernah memenangi anugerah EMAS di Mini Convention on Team Excellence Wilayah Pantai Timur 2013. Kemenangan ini telah memberi semangat yang lebih utuh untuk terus maju dan melayakkan kumpulan Lucero ke pertandingan peringkat IPTA bersama-sama Kumpulan UniQ.


 

Pada Konvensyen KIK Peringkat IPTA ini, kumpulan yang berjaya meraih juara keseluruhan adalah Kumpulan PERMADI dari Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, PPUKM dengan projek bertajuk `Ketidakakuran Terhadap Standard Integriti Spesimen di Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik PPUKM` setelah menjadi Juara bagi kategori Teknikal dan memenangi anugerah Fasilitator terbaik iaitu Puan Habsah binti Aziz, Hadiah kemenangan merupakan cek berjumlah RM6000 beserta piala pusingan yang disampaikan oleh Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim.


Manakala bagi pihak UniSZA berjaya meraih pingat PERAK dan GANGSA untuk penarafan projek dan membawa pulang sijil penyertaan beserta cenderahati dari pihak UUM. Namun begitu, penyertaan yang julung kalinya ini telah memberi nafas baru serta sebuah pengertian dalam keberlangsungan perjuangan KIK Pasukan UniSZA untuk memantapkan perkhidmatan dan cara kerja sektor Perkhidmatan Awam khususnya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam.


Syabas dan Tahniah!


Berita ROSNORZAINI RUSLI

Gambar JABATAN PERPUSTAKAAN UniSZA

Ceramah Pembangunan Modal Insan Siri Kedua : Maulidur Rasul
Pada 8hb Februari 2012 yang lepas, telah diadakan Ceramah Pembangunan
Modal Insan Siri Kedua 2012 yang bertempat di Bilik Auditorium,
Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.
Ceramah bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang telah disampaikan
oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Shukri bin Mat Teh, Pensyarah Universiti dari
Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA.
                          HUBUNGI KAMI
                           
Open source productions