Kuala Nerus, 15 Mac 2024 – Sebanyak 30 beg makanan diedarkan untuk pelajar UniSZA yang tinggal di luar kampus sempena bulan Ramadan Al-Mubarak. Program ini diselaraskan di bawah Seksyen Kediaman Luar Kampus (SKLK) yang diketuai oleh En. Rusdi Muda bersama pegawai Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar (KKKP) dan Jawatankuasa Pelajar Luar Kampus (JPLK).

Program ini mendapat sambutan yang amat baik dari pelajar di mana ia dapat mencapai hasrat SKLK untuk membina ikatan ukhuwah antara SKLK dan pelajar tinggal di luar kampus serta dalam waktu yang sama dapat membantu pelajar mengurangkan beban perbelanjaan pelajar.

En. Rusdi Muda berkata agihan ini adalah salah satu bentuk aktiviti SKLK menyantuni pelajar tinggal di luar kampus dan akan sentiasa merancang program yang bersesuaian dengan pelajar.

“In Shaa Allah dengan bantuan yang diberikan ini dapat sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi hubungan antara SKLK bersama  pelajar dan secara tidak langsung dapat membantu menampung keperluan pelajar terutama pada bulan mulia ini,” katanya selepas tamat program.

Print

Kuala Nerus, 17 Mac 2024 – Lima orang wakil dari Majlis Kolej Kediaman (MKK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berkampung selama empat hari bermula 6 hingga 9 Mac 2024 di Universiti Utara Malaysia bagi menjayakan program Kembara Ilmiah Sempena Global Student Residential Council Summit 2024.

UniSZA diwakili oleh Muhammad Medina Munawwarrahmathuddin al Haq Mohamed selaku Presiden MKK, Nurul Iffah Mardhiah Mohd Pauzi, Sharifah Hanaa Syed Mohd Al-Amin, Nur Athirah Mohamad Zuki dan Muhammad Shafizal Haikal Azmi.

Program ini diadakan bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara MKK dengan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman Universiti Awam seluruh Malaysia dan luar negara selain memberi peluang kepada perwakilan kolej kediaman untuk bertukar pandangan mengenai perihal kolej kediaman demi menambahbaik pengalaman dan usaha menjadikan kolej kediaman lebih aktif dan kondusif bagi semua penghuni dengan pelaksanaan program berimpak tinggi.

Kerjasama bersama perwakilan kolej kediaman negara jiran melalui slot Educational Visit to Prince of Songkla University, Thailand merupakan pengamalan berharga yang diraih oleh wakil dari UniSZA.

Diharapkan program ini dapat menjadi batu loncatan bagi MKK untuk terus melaksanakan program berimpak tinggi selaras dengan slogan “Menyatukan Penghuni Aktif”.

Print

Kuala Nerus, 13 Mac 2024 - Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA dengan berbesar hati telah menyambut kedatangan delegasi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei yang diketuai oleh Auza'ie Rusydi selaku Exco Kolej Kediaman Siswa, Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA pada Khamis 29 Februari 2024.

Program Ziarah Ilmiah Brunei-Malaysia (UniSZA X UNISSA) ini diadakan sempena menyambut baik kerjasama antara Unit Kolej Kediaman Siswa Siswi (UKKSASI) UNISSA dengan MKK UniSZA.

Seramai tujuh orang pelajar dan seorang pengiring dari UNISSA Brunei telah berkampung di UniSZA selama tiga hari dua malam bagi tujuan pembelajaran dan lawatan ilmiah.

Ziarah ini bertujuan memberi peluang kepada perwakilan kolej kediaman dari kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai perihal kolej kediaman demi menambahbaik pengalaman dan usaha menjadikan kolej kediaman lebih aktif dan kondusif bagi semua penghuni.

Majlis perasmian program telah dilakukan Dr. W. Omar Ali Saifuddin Bin Wan Ismail, Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar bertempat di Dewan Ibnu Khaldun.

Tuan Haji Mohammad Khairul Rijal Bin Begawan Mudin Haji Sapar, Pengurus Kolej Kediaman Siswa UNISSA selaku pengiring mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MKK UniSZA di atas kesudian menjadi tuan rumah bagi program ini.

Program ini diharapkan menjadi batu loncatan bagi kedua-dua pihak bagi mengukuhkan kesefahaman dan semoga kerjasama ini terus dieratkan dengan kolaborasi program pada masa hadapan.

Print

Kedah, 1 Mac 2024 - Tiga buah universiti yang terletak di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menjadi pilihan Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar (KKKP) untuk mengadakan lawatan penanda aras.

Objektif lawatan ini adalah untuk mendapatkan pengkongsian ilmu bagi merangka penambahbaikkan di KKKP dari aspek sistem pengurusan pentadbiran dan kesihatan serta cara kerja yang dijalankan.

Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi destinasi pertama yang dilawati sebaik sahaja melintasi sempadan utara disusuli Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada hari ke dua lawatan.

Lawatan ini disertai oleh 31 staf yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar, Rusdi Muda dan Timbalan Pengarah (Bahagian Kesihatan Pelajar) Dr. Yusmina Mohd Yusof.

Pihak KKKP UniSZA berbesar hati untuk menerima kunjungan balas dari USM, UUM dan UniMAP dan diharapkan lawatan ini mendapat memberi manfaat dan impak positif untuk kedua-dua pihak.

 

Print

Kuala Nerus, 16 Januari 2024 - Seramai 33 orang pelajar UniSZA telah menerima watikah sebagai Ahli Majlis Kolej Kediaman (MKK) baharu dalam Majlis Watikah Pelantikkan Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Kolej Kediaman sesi 2023/2024 yang telah diadakan di Anjung Canselori, UniSZA Kampus Gong Badak pada 8 Januari 2024.

Majlis pelantikan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor UniSZA kepada wakil pelajar Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Kolej Kediaman UniSZA.

Barisan kepimpinan MKK UniSZA Sesi 2023/2024 akan dipimpin oleh saudara Muhammad Medina Munawwarrahmathuddin Al-Haq bin Mohamed.

Turut hadir bagi menyaksikan detik bersejarah tersebut ialah YBrs. Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi), YBrs. Encik Muzafar bin Mohd Din (Pendaftar), YBrs. Encik Suhaili bin Mohd (Bendahari), YBrs. Encik Fuad bin Husaini (Penasihat Undang-undang) dan YBrs. Dr. Wan Omar Ali Saifuddin Wan Ismail (Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar).

Terima kasih diucapkan kepada barisan kepimpinan MKK UniSZA 2022/2023 dan selamat maju jaya serta selamat menjalankan tugas kepada barisan kepimpinan baharu Sesi 2023/2024.

Print