Kursus Pengurusan Jenazah

pengurusan jenazahPengurusan Jenazah adalah Fardu Kifayah dan wajib dipelajari dan diketahui oleh semua orang Islam. Perkara ini tidak hanya perlu diketahui oleh imam,bilal atau pegawai syarak tetapi ianya adalah ilmu yang wajib dituntut oleh orang-orang yang beriman.

Telah menjadi tradisi dalam masyarakat kita apabila berlaku sesuatu kematian ianya diurus atau diserahkan kepada imam, nazir atau badan khairat kematian yang berkemahiran dan berkemampuan. Amalan ini perlu diperbetulkan semula mengikut lunas-lunas ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kesedaran inilah pihak Majlis Kolej Kediaman (MKK) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) serta Jawatankuasa Surau Habibah telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan UniSZA pada 2 Disember 2016.

Kursus ini merupakan salah satu program yang dapat memberikan pendedahan yang baharu kepada pelajar mengenai pengurusan jenazah sekaligus memupuk minat golongan pelajar di dalam aktiviti kemasyarakatan .

Pendedahan secara terperinci telah dibentangkan oleh Pengarah Pusat Urusan Jenazah Islam (PUJI) Terengganu, Ustaz Mohd Ariff Tengah mengenai tatacara pengurusan jenazah yang betul dan lebih komprehensif seiring dengan keperluan masyarakat pada hari ini.

Inisiatif untuk mengadakan kursus ini adalah bagi menerapkan semangat ingin tahu kepada ahli keluarga untuk mempelajari perihal berkaitan pengurusan jenazah dan kematian. Inilah hasrat yang cuba diketengahkan oleh pihak penganjur supaya menjadi agen pengembang, membina wasilah seorang yang beriman lagi bertaqwa.

Cetak