GONG BADAK, 28 Mei 2025 – Festival Kolej Kediaman (FESKOK) 1.0 anjuran Majlis Kolej Kediaman (MKK) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni selepas berlangsung selama enam hari, bermula 23 hingga 28 Mei 2025 bertempat di sekitar Kampus Gong Badak.

FESKOK 1.0 dianjurkan sebagai platform integrasi antara pelajar pelbagai kolej kediaman bagi memupuk semangat perpaduan, membina sahsiah diri yang positif serta menggalakkan penyertaan aktif mahasiswa/i dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, keusahawanan, kesukanan dan kreativiti digital.

Pelbagai pengisian menarik telah disusun sepanjang festival ini. Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat termasuk program gotong-royong "GoRo: Cintai Kolej Anda", pertandingan “Kolejku Syurgaku” bagi menceriakan kolej kediaman, College’s Fun Run, kejohanan futsal dan bola jaring, serta pertandingan E-Sukan seperti E-Football dan Mobile Legends: Bang Bang.

Turut mencuri tumpuan ialah Bazar FESKOK yang beroperasi setiap hari dari jam 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Bazar ini bukan sahaja menjadi medan menjana pendapatan bagi pelajar yang menceburi bidang keusahawanan, malah turut merancakkan suasana kampus pada waktu malam.

Satu lagi inisiatif kreatif ialah pertandingan video pendek bertemakan ‘Kolej Kediaman’ yang diadakan secara atas talian. Pertandingan ini berjaya menarik penyertaan yang memberangsangkan daripada mahasiswa/i dan menjadi medium ekspresi terhadap pengalaman tinggal di kolej kediaman masing-masing.

Forum Santai Siswa yang bertajuk “Softskill Mahasiswa dan 3K (Kelas, Kafe, Katil)” telah diadakan secara fizikal dan menampilkan Dr. W Omar Ali Saifuddin, Pengarah Kolej Kediaman & Kesihatan Pelajar, sebagai panel jemputan. Forum ini membuka ruang perbincangan interaktif berkaitan pengurusan masa, keterlibatan aktif dalam kampus dan keseimbangan gaya hidup sebagai seorang mahasiswa.

Majlis Penutup FESKOK 1.0 telah berlangsung dengan penuh meriah pada 28 Mei 2025 bertempat di Dewan Auditorium Bangunan Akademik, UniSZA. Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Dr. W Omar Ali Saifuddin, serta tayangan montaj khas yang merakamkan detik-detik sepanjang festival berlangsung.

Menurut Pengarah Program, FESKOK 1.0 telah berjaya mencapai objektifnya dan memberi impak positif kepada para peserta, bukan sahaja dari sudut pembangunan fizikal dan intelek, tetapi juga dalam memperkukuhkan nilai integriti, kepimpinan dan semangat berkomuniti dalam kalangan warga kolej kediaman.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung serta berharap agar FESKOK dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan pengisian yang lebih inovatif, inklusif dan bersifat rentas fakulti.