PASIR PUTEH, 27 Mei 2025 - Bengkel Pelaksanaan Pengurusan Kualiti dan Integriti anjuran Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar (KKKP) telah berlangsung selama tiga hari, dari 15 hingga 17 Mei 2025, bertempat di Tok Aman Bali Beach Resort, Kelantan. Seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada staf pelbagai gred dan jawatan telah mengambil bahagian dalam program ini.
Tujuan utama bengkel ini adalah untuk memupuk budaya integriti, memperkukuh etika kerja serta menanam rasa tanggungjawab dalam kalangan warga kerja terhadap penjagaan integriti organisasi. Ia juga menyasarkan pembentukan tadbir urus yang sistematik, cekap dan telus.
Pada hari pertama, bengkel dimulakan dengan pendaftaran dan sesi suai kenal yang disampaikan oleh Pengarah KKKP, YBrs. Dr. W Omar Ali Saifuddin bin Wan Ismail, yang memberikan penerangan mengenai objektif dan struktur bengkel. Latihan dalam kumpulan (LDK) turut diadakan bagi mempererat hubungan peserta serta membina kesepaduan dalam kalangan kumpulan kerja.
Hari kedua dimulakan dengan ceramah oleh En. Mohd Ali bin Hashim dari Unit Integriti UniSZA yang membincangkan isu-isu integriti dalam organisasi, tanggungjawab individu serta langkah mengekalkan ketelusan dalam tugasan harian. Seterusnya, Psk Wan Siti Junaida bt Ismail dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menyampaikan ceramah bertajuk “Mantapkan Integriti, Tolak Rasuah”, yang menyentuh kesan negatif rasuah serta pendekatan pencegahan dari sudut psikologi dan penguatkuasaan.
Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya meningkatkan kefahaman peserta terhadap konsep integriti dan pengaplikasiannya dalam tugasan harian. Peserta turut menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan amalan kerja beretika dan akauntabiliti.
Diharapkan segala ilmu dan nilai yang diperoleh dapat diterapkan secara konsisten dalam tugasan harian, seterusnya membentuk pasukan kerja yang lebih profesional, bertanggungjawab dan berintegriti demi kecemerlangan perkhidmatan KKKP secara menyeluruh.