KUALA NERUS, 22 Apri 2025 — Majlis Kolej Kediaman (MKK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK) telah menganjurkan program pembangunan sahsiah bertajuk “Personaliti dan Etika Siri 1.0” yang berlangsung dengan jayanya pada 12 April 2025 bertempat di Dewan Kuliah Utama, UniSZA.

Program ini telah disampaikan oleh YBrs. Dr. W Omar Ali Saifuddin bin Wan Ismail, Pengarah Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar UniSZA. Beliau berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan pembentukan personaliti yang unggul serta pengamalan nilai-nilai etika dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam konteks pembelajaran dan kerjaya.

Dalam ceramahnya, beliaur menekankan kepentingan integriti, komunikasi berkesan, dan nilai-nilai murni sebagai asas dalam membentuk individu yang beretika dan dihormati masyarakat. Beliau turut mengaitkan topik ceramah dengan contoh-contoh situasi sebenar yang memberi inspirasi serta motivasi kepada para peserta.

“Kejayaan seseorang bukan hanya terletak pada kepandaian, tetapi pada keperibadian dan cara kita membawa diri,” ujarnya.

Selain sesi ceramah, program ini turut menyediakan ruang interaksi menerusi sesi soal jawab yang membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan etika dan cabaran personaliti dalam era digital. Para peserta menunjukkan keterlibatan aktif dan memberikan respon positif terhadap penganjuran program ini.

Salah seorang peserta menyatakan bahawa program ini telah membuka matanya tentang kepentingan membina imej diri yang beretika.

“Saya rasa lebih yakin untuk membina imej diri yang positif dan beretika selepas mendengar perkongsian tersebut,” katanya.

Program ditutup dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan dan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, dan berharap agar ia dapat diteruskan dalam siri-siri seterusnya sebagai platform memperkukuh nilai murni dalam kalangan mahasiswa UniSZA.