KUALA NERUS, 11 April 2025 – Seramai 200 orang pelajar perempuan telah menyertai Program Latihan Keselamatan Kebakaran dan ‘Fire Drill’ anjuran Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA, yang diadakan pada jam 12.30 pagi bertempat di Blok Khansa, Kolej Kediaman Kampus Gong Badak.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar (KKKP), Pusat Pengurusan Harta Benda, serta wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar dan Perwakilan Pelajar Beruniform UniSZA.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran penghuni kolej kediaman mengenai prosedur keselamatan kebakaran. Ia juga bertujuan melatih penghuni agar dapat bertindak dengan betul ketika berlaku kecemasan, termasuk penggunaan peralatan memadam kebakaran serta laluan kecemasan yang betul.

Antara pengisian program termasuk latihan pengungsian bangunan secara teratur serta latihan memadam kebakaran, di mana beberapa pelajar diberi peluang untuk mempraktikkan penggunaan alat pemadam api di bawah pengawasan pihak bomba.

Program ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar, malah turut memperkukuh kerjasama strategik antara pelbagai agensi dan jabatan dalam memastikan keselamatan warga kampus sentiasa terjamin. Melalui latihan ini, para penghuni kolej diharap dapat bertindak pantas dan tepat sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan yang sebenar.