KUALA NERUS, 9 April 2025 – Majlis Kolej Kediaman (MKK) dengan kerjasama Ahli Surau UniSZA telah menganjurkan Program Cahaya Ramadan 1446H, yang berlangsung dari 17 hingga 22 Mac 2025. Program ini dijalankan serentak di dua lokasi utama, iaitu Surau Thoriq, Kampus Gong Badak dan Surau Al-Amin, Kampus Perubatan tekah disertai hampir 100 orang mahasiswa dan mahasiswi.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan pelajar melalui pengisian rohani yang bermakna sepanjang bulan Ramadan. Antara aktiviti utama yang dianjurkan termasuklah solat Tarawih berjemaah, tadarus al-Quran, Subuh Macam Jumaat, Program Mutiara Kata dan Street Dakwah.
Solat Tarawih berjemaah telah dilaksanakan setiap malam sepanjang program, dan diteruskan dengan sesi tadarus al-Quran. Solat Subuh berjemaah pula dijalankan setiap pagi sebagai usaha menyemai disiplin dan kesatuan dalam kalangan pelajar.
Program Mutiara Kata disampaikan secara maya oleh penceramah jemputan yang memberikan tazkirah Ramadan melalui platform media sosial rasmi, manakala Street Dakwah dilaksanakan secara bersemuka dengan para pelajar, diiringi pengedaran risalah-risalah berkaitan Ramadan sebagai usaha menyebarkan mesej dakwah secara santai namun berkesan.
Kehadiran yang memberangsangkan terutamanya dalam solat Isyak dan Tarawih berjemaah menjadi bukti komitmen mahasiswa terhadap program ini. Selain menyemarakkan nilai spiritual, program ini turut mempererat hubungan silaturrahim antara Majlis Kolej Kediaman dan penghuni kolej kediaman sepanjang sesi kali ini.
Dengan berakhirnya Program Cahaya Ramadan ini, pihak penganjur menyatakan harapan agar nilai-nilai murni yang dipupuk sepanjang Ramadan akan terus diamalkan dalam kehidupan seharian. Semangat kebersamaan yang terjalin juga diharap dapat terus diperkukuh dalam kalangan mahasiswa UniSZA, menjadikan mereka generasi berilmu yang seimbang dari segi rohani dan intelek.