KUALA NERUS, 23 Mac 2025 – Majlis Kolej Kediaman (MKK) UniSZA dengan kerjasama PADDI RESOURCES dan Geng Surau Thoriq telah berjaya menganjurkan Majlis Sama’ Hadis Daurah Ihya’ Ramadhan pada 7 hingga 18 Mac 2025, menghidupkan semangat sunnah melalui pengajian hadis serta memperkukuh kefahaman ibadah di bulan yang penuh keberkatan ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan aluan sebelum peserta dibawa menyelami keindahan hadis oleh penceramah jemputan, Syeikh Prof. Madya Dr. Rabie Ibrahim Mohammad Hasan, pensyarah dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA. Dengan penyampaian yang mendalam dan berpandukan hadis sahih, beliau mengupas keutamaan ibadah di bulan Ramadan, diikuti sesi soal jawab interaktif yang menggalakkan perbincangan terbuka.

Selain memperkukuh ilmu, program ini juga berjaya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan jemaah surau dan komuniti setempat, memperkukuh budaya ilmu dalam kehidupan seharian. Maklum balas peserta menunjukkan minat yang tinggi untuk kesinambungan program seumpama ini di masa hadapan.

Diharapkan majlis ilmu seperti ini dapat terus disemarakkan, memberi manfaat berpanjangan serta membimbing masyarakat untuk memahami dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan lebih mendalam. Semoga usaha murni ini diberkati Allah SWT dan membawa rahmat kepada seluruh peserta serta komuniti.