KUALA TERENGGANU, 20 Februari 2025 - Pertandingan Boling Muhibah Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar (KKKP) 2025 berlangsung dengan penuh ceria di Coral Crown Bowl, Kuala Terengganu, pada 8 februari 2025. Program anjuran Pejabat Kolej Kediaman Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berjaya menarik penyertaan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada staf dan felo.

Sebanyak 10 pasukan bersaing dalam pertandingan ini, masing-masing menunjukkan kehebatan dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung. Sorakan dan gelak tawa memeriahkan suasana, mencerminkan semangat muhibah dan kekeluargaan antara peserta.

Dalam kategori berpasukan, kejuaraan diraih oleh pasukan Mohd Zarif Safik yang berjaya mengumpul jumlah jatuhan pin tertinggi sepanjang pertandingan. Pasukan Asma’ pula menunjukkan prestasi cemerlang dengan menduduki tempat kedua, sementara tempat ketiga menjadi milik pasukan Azilawati yang turut memberikan saingan sengit kepada pasukan lain.

Bagi kategori individu lelaki, Pengarah Kolej Kediaman, Dr. W Omar Ali Saifuddin tampil sebagai juara selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang permainan. Tempat kedua pula disandang oleh Saiful Bahri, manakala Wan Fairul Fakhzan berjaya merangkul tempat ketiga.

Sementara itu, kategori individu perempuan menyaksikan persaingan sengit antara peserta, namun Asma’ berjaya muncul sebagai juara. Tempat kedua menjadi milik Nabilah Nurshuhada, manakala Nurul Syaimaa melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan menduduki tempat ketiga.

Menurut salah seorang peserta, kejohanan seperti ini memberi ruang kepada staf dan felo untuk berinteraksi dalam suasana santai, selain mengurangkan tekanan kerja harian.

Program ini berakhir dengan sesi bergambar bersama pemenang dan peserta. Semua yang hadir berharap acara seperti ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang bagi mengeratkan ukhuwah dan memupuk budaya sukan yang sihat dalam komuniti universiti.