KUALA NERUS. 21 Januari 2025 – Majlis Kolej Kediaman (MKK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar (KKKP) telah menganjurkan Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana pada 16 dan 17 Januari 2025.
Program ini dilihat sebagai platform yang signifikan dalam menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar kolej kediaman, sambil memberikan suntikan rohani menjelang peperiksaan akhir semester.
Pelbagai aktiviti telah berlangsung sepanjang program ini termasuk Solat Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yasin, Solat Hajat Perdana, dan Solat Isyak berjemaah. Menariknya, program ini dilaksanakan serentak di tiga buah kampus iaitu di Surau Kolej Kediaman Kampus Gong Badak, Kampus Besut, dan Kampus Perubatan.
Sambutan menggalakkan daripada pelajari mencerminkan komitmen mereka terhadap aktiviti kerohanian serta semangat untuk memperkukuh hubungan sesama rakan.
Menurut wakil penganjur, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari aspek spiritual, malah turut meningkatkan motivasi mereka untuk menghadapi peperiksaan akhir semester dengan lebih yakin.
“Kami percaya bahawa keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan akhlak adalah asas penting untuk melahirkan graduan yang holistik,” ujar seorang wakil dari pihak penganjur.
Selain itu, program ini juga menjadi bukti kepada komitmen UniSZA dalam mendukung nilai-nilai kerohanian sebagai elemen penting dalam pendidikan tinggi. Impak positifnya jelas dirasai apabila ramai pelajar meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas penganjuran program yang mendekatkan mereka dengan nilai-nilai keagamaan.
Majlis penutup menyaksikan ucapan penghargaan yang penuh bermakna ditujukan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk jawatankuasa penganjur, tenaga pengajar, dan peserta.
Kerjaama pelbagai pihak telah memainkan peranan besar dalam menjayakan program ini, yang diharap menjadi pemangkin kepada penganjuran aktiviti-aktiviti seumpamanya pada masa akan datang.
Semoga usaha ini terus diberkati dan menjadi inspirasi untuk meneruskan legasi cemerlang UniSZA dalam menyatukan ilmu duniawi dan ukhrawi.